Kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali kononnya Pakatan Harapan (PH) berbalah isu logo yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelihatan cangung.
Menurut Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman, Bersatu sendiri lintang pukang menghadapi PRN dengan komponen terbesarnya Pas masih berura ura mahu merundingkan kerusi dengan Umno Johor.
Azmin pula, dakwa Syed Badli, tidak mampu memainkan peranannya sebagai pemimpin utama Perikatan Nasional kerana tidak diyakini oleh rakan rakan berdasarkan sejarah silam politik beliau.
“Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali kelihatan begitu canggung berbicara soal PH sedangkan dalaman PN itu sendiri kini berkecamuk dan hampir berpecah belah.
“Secara jelas Umno yang merupakan rakan sekutu rapat PN mula menolak gabungan itu kerana amalan politik khianat berleluasa dalam PN.
“Azmin semakin tidak dipercayai oleh rakan-rakan sekutunya kerana beliau sendiri mempunyai rekod pengkhianatan terhadap rakan sepasukan,” ujar mantan Naib Ketua AMK itu.
Tambah Syed Badli lagi, Bersatu hakikatnya semakin ditinggalkan oleh rakan rakan sekutu yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan 2 tahun lalu.
Oleh itu masa hadapan politik Azmin, katanya, akan semakin kabur selepas PRN Johor memandangkan Umno akan membalas dendam dan berusaha sepenuh daya untuk menguburkan Bersatu.
“Selepas PRN Melaka, Sarawak dan kini Johor, PN semakin ditinggalkan oleh rakyat dan rakan-rakan sekutu
“Saya menjangkakan masa depan politik Azmin semakin kabur dan PN bakal terkubur dalam sedikit masa lagi.
“Justeru itu, saya ingin menasihatkan Azmin agar berhati-hati dalam berbicara kerana kisah pengkhianatannya akan sentiasa dikenang sepanjang hayat,” katanya lagi.
Semalam, Azmin mengulas tindakan KEADILAN enggan menggunakan logo PH pada PRN Johor menunjukkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula hilang keyakinan pada gabungan pembangkang itu.
Sedangkan, isu logo tidak timbul dalam PH dan keputusan secara konsensus telah dibuat beberapa hari yang lalu.