Kelewatan Kerajaan Negeri Terengganu memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara atau memberi amaran awal berlakunya banjir semalam dan hari ini dikritik banyak pihak.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali, negeri Pantai Timur itu seharusnya lebih bersedia meskipun fenomena banjir kali ini luar biasa kerana berlaku setelah selesai monsun timur laut.
Malangnya, kata beliau, tiada langsung kesiapsiagaan kerajaan negeri Terengganu setelah Jabatan Meteriologi Malaysia mengeluarkan ramalan kaji cuaca kemungkinan berlakunya banjir semenjak awal Februari lalu.
“Kami dari AMK Terengganu merasa hal ini adalah satu tindakan culas daripada Kerajaan Negeri yang membiarkan rakyat Terengganu berhempas pulas tanpa amaran awal dari pihak mereka walaupun ramalan kaji cuaca (amaran banjir) telah dikeluarkan lebih awal oleh pihak kerajaan
“Selain itu, kami juga mempersoalkan urus tadbir Kerajaan Negeri yang dilihat tidak bersungguh sungguh dalam menangani isu banjir di Terengganu. Umum mengetahui banjir di Pantai Timur adalah satu perkara normal namun sehingga sekarang tiada langkah proaktif dari phak Kerajaan Negeri walaupun Menteri Besar Terengganu telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Pusat bagi menghadapi musim banjir,” katanya.
Menurut Wan Muhamad Haikal lagi, ketidaksiagaan Kerajaan Negeri ini jelas merupakan kelemahan pentadbiran Pas yang tidak mengambil kira perubahan iklim yang kini banyak diperkatakan di peringkat antarabangsa.
Katanya, sekiranya kerajaan Pas cakna mengenai perubahan iklim itu maka persediaan awal tentunya telah dilakukan mengambil kira iklim serantau yang berubah ubah.
“Oleh itu kami mendesak kerajaan Terengganu mengeluarkan garis panduan pada setiap kali rakyat berhadapan banjir. Misalnya dengan mengeluarkan amaran sebulan lebih awal, malah mengemaskini maklumat tentang kaji cuaca di Terengganu memandangkan dunia sedang menghadapi perubahan iklim.
“Di mana langkah persediaan yang dilaungkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar? Sebelum ini beliau dalam ucapan berbicara soal mitigasi bencana dengan mengawal penebangan hutan, kota takungan pinggir sungai dan membangun sistem amaran berdasarkan kecerdasan buatan. Namun ternyata ia omongan kosong kerana sehingga sekarang rakyat Terengganu terperangkap dalam banjir akibat kelalaian daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Justeru, Wan Muhamad Haikal mengingatkan kerajaan Terengganu agar segera turun menghantar bantuan kepada rakyat yang terperangkap dan melakukan tindakan proaktif bagi menyelamatkan mangsa banjir.
Terdahulu, banjir luar biasa yang melanda Terengganu semalam dan hari ini memperlihatkan usaha menyelamat agak terlambat digerakkan dan pasukan penyelamat kini menghadapi arus deras dalamm mengeluarkan mangsa untuk dibawa ke PPS.
Tular di media sosial beberapa video mangsa banjir terpaksa memanjat ke bumbung rumah sebagaimana mangsa di Selangor pada Disember 2021 lalu, ketika air banjir mendadak naik melepasi paras 2 meter.