Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Kakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dianggap mencabuli konsep pemisahan kuasa antara badan Legistatif, Eksekutif dan Kehakiman.
Bagi Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hassan Abdul Karim, tindakan suruhanjaya itu boleh dianggap sebagai campurtangan dan serangan ke atas kebebasan badan Kehakiman.
“SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab sama-sama mempertahankan kebebasan kehakiman Malaysia. Hakim-hakim mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak Eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.
“Apa yang dilakukan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Ghazali, bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahaan kuasa antara badan Eksekutif dan juga Kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.
“Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah.
“Tetapi ada kaedah yang khusus melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh Kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kes Tribunal Bebas sebelum ini berkaitan pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara merupakan satu contoh,” katanya.
Menurut Hassan yang juga seorang peguam, SPRM perlu menyedari Hakim Mohd Nazlan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.
Katanya, SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang hakim hanya kerana wujudnya laporan polis yang dilakukan ke atas hakim tersebut.
“Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah seseorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.
“Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan, maka ini akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.
“Perlu difahami telah wujud persepsi tindakan ke atas Hakim Mohd Nazlan ini ada kaitannya dengan keputusan beliau ke atas kes pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri Najib Razak dalam Kes SRC International, di mana Hakim Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap Najib,” katanya.
Tambah Hassan, SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan apa pun usaha pihak pihak tertentu terhadap Hakim Mohd Nazlan
Dakwa Hassan lagi, SPRM peru sedar terdapat usaha konsisten pihak tertentu yang tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan kehakiman apabila terdapat cubaan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib dengan tujuan keputusan kes SRC International itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan.
“Perlu diingat keputusan Hakim Mohd Nazlan dalam Kes SRC International mensabitkan kesalahan Najib telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.
“Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri sendiri. Beberapa laporan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan dan menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM
“Namun sehingga ke hari ini tidak ada siasatan dilakukan ke atas Tan Sri Azam Baki. Malah cadangan dari JKMR yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim agar Tan Sri Azam Baki direhatkan dengan bercuti supaya satu siasatan bebas dapat dilakukan juga langsung tidak dihiraukan
“SPRM perlu sedar bahawa tugas JKMR di mana saya salah seorang anggota Jawatankuasa tersebut adalah untuk memantau perjalanan SPRM. Malahan di bawah Seksyen 14 Akta SPRM dinyatakan dengan jelas JKMR bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam segala hal tentang rasuah di Malaysia ini,” katanya lagi.
Justeru, Hassan menasihati SPRM supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.