Perebutan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN) membosankan rakyat marhaen yang menghadapi kenaikan harga barang.
Menurut Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, tiada guna diungkit janji antara PN dan BN ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ingin membentuk kerajaan dahulu, kerana hal itu bukan keutamaan ketika penggal berkerajaan akan tamat pertengahan tahun hadapan.
“Itu yang saya pelik. Sekarang negara dalam kancah kemelut ekonomi yang mudarat, kenapa kita tak fikir untuk menyelamat ekonomi negara. Dalam waktu genting ini tuntut pula bukan bukan, timbalan PM, menteri itu, perjanjian. Baru hari ini kau cakap perjanjian. Yang kau meterai perjanjian 2017 dulu (bersama PH), kau khianat, ini bukan munafik?
“Sekarang PM tak mahu lantik TPM atas perjanjian oleh itu, dikatakan (muncul hujah) tuntutan agama Islam. Baru sebut agama Islam, yang dulu kau pakai agama apa?
“Sekarang ini bukan masanya, saya menyampah dengan kepimpinan hari ini kalut untuk dapat jawatan tetapi tugas mereka diabaikan,” katanya kepada Suara Keadilan.
Abdullah juga mempersoalkan apa sudah jadi kepada jawatankuasa jihad memerangi inflasi, tidak ada data pencapaian turunnya harga barang namun isu TPM pula yang timbul.
Katanya, lebih baik kerajaan BN – PN fokus kepada isu isu rakyat kerana masalah rakyat tidak akan selesai dengan melantik TPM.
“Pada hari ini saya tanya apa berlaku kepada jawatankuasa jihad? Mereka buat apa, dah berminggu rakyat susah cari telur, minyak masak RM2.50 tak ada. Ini semua retorik.
“Tak ada fokus untuk memberikan tumpuan kepada rakyat. Kalut dengan jawatan,” katanya lagi.