Ugutan bunuh ke atas Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir wajar disiasat segera dan individu atau kumpulan yang terlihat seharusnya dihukum lebih tegas bagi mengelakkan insiden yang sama terus berulang.
Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean, Ahli Parlimen yang dipilih melalui proses demokrasi seharusnya diiktiraf peranan dan dilindungi keselamatan mereka.
Katanya, tiada pihak yang boleh menghalang Ahli Parlimen daripada menjalankan tugas atau memberi pendapat dengan ugutan dan ancaman sebagaimana yang berlaku kepada Akmal dan Pusat Khidmat Parlimen beliau.
“Saya berasa amat kesal terhadap ugutan bunuh ke atas Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir melalui media sosial serta kebakaran yang berlaku di pejabat beliau, kerana tindakan tindakan ini merupakan kesalahan terhadap negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
“Ahli Parlimen yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat melalui proses demokrasi adalah diperuntukkan kebebasan untuk bersuara, menyemak imbang di sidang Parlimen untuk memastikan undang undang dan dasar kerajaan memanfaatkan rakyat.
“Fungsi institusi Parlimen dan peranan Ahli Parlimen tercantas sekiranya keselamatan mereka tidak terjamin di luar Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ker Chean lagi, pihak polis sehubungan itu perlu mempertimbangkan menggunakan akta paling tegas termasuk hukuman penjara dalam menangani kes ugutan ke atas Ahli Parlimen.
Ujarnya, tanpa tindakan tegas maka kes ugutan akan berulang sebagaimana yang telah belaku sejak bertahun tahun lalu.
“Pihak polis digesa mempertimbangkan menyiasat kes ugutan bunuh Ahli Parlimen dan kebakaran di pejabat beliau berdasarkan Akta 574 Seksyen 124 Kanun Keseksaan selain daripada Seksyen 436 Kanun Keseksaan, Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Akta 574 Seksyen 124 Kanun Keseksaan menyatakan sesiapa yang menyerang atau mempertakutkan Ahli Parlimen dan lain lain dengan niat hendak memaksa atau menghalang apa apa kuasa yang sah di sisi undang undang dijalankan akan diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya lagi.
Tambah Ker Chean, pihak berkuasa perlu menghentikan budaya ugutan terhadap Ahli Parlimen atau wakil rakyat serta merta untuk memelihara amalan sistem demokrasi yang sihat demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.