Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak sewajarnya dibiarkan berpanjangan tanpa ada pihak yang didakwa di mahkamah.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Kamil Munim, Peguam Negara tidak harus menunggu lama setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata beberapa kertas siasatan berhubung skandal itu telah selesai.
Katanya, dengan pendedahan dokumen Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) dan laporan audit forensik LCS kepada umum menyebabkan lebih banyak rakyat tertanya tanya apakah yang cuba dilakukan oleh Peguam Negara dengan tidak memulakan pendakwaan.
“SPRM dalam satu kenyataan pada 11 Ogos lalu memaklumkan bahawa badan itu telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu-individu yang didakwa mempunyai kaitan dalam penyelewengan pembinaan kapal LCS yang kemudiannya telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Namun sehingga kini, masih belum ada pendakwaan dibuat ke atas mana-mana individu yang terpalit secara langsung atau melalui proksi dalam kecurangan pembinaan projek LCS seperti yang didedahkan oleh laporan audit forensik dan laporan lain yang berkaitan, meskipun Peguam Negara pada 16 Ogos yang lalu menyatakan pejabatnya akan membuat keputusan secepat mungkin.
“Pendakwaan yang dibuat ke atas bekas pengarah urusan BNS Tan Sri Ahmad Ramli beberapa waktu lalu adalah berkaitan transaksi yang dibuat sebelum kerajaan bersetuju untuk meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta bagi perolehan projek LCS pada 21 Disember 2011.
“Melihat kepada laporan audit forensik dan PAC terdapat bukti yang jelas dan kukuh untuk mengheret mereka yang terlibat dalam penyelewangan dana yang diperuntukkan bagi projek tersebut ke mahkamah, termasuk bekas menteri yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk mengubah reka bentuk kapal tersebut tanpa sebarang justifikasi munasabah yang bertentangan dengan kehendak dan keperluan TLDM,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, lebih lama Peguam Negara menunggu untuk membawa petualang negara tersebut ke mahkamah lebih banyak spekulasi akan timbul dalam kalangan rakyat.
Kamil yang juga seroang peguam berkata, skandal LCS tidak perlu mengikut jejak langkah skandal 1MDB yang ditunda pendakwaannya sehingga kerajaan bertukar kerana hal itu akan memberi tanggapan buruk terhadap komitmen kerajaan dan Perdana Menteri dalam usaha memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Skandal LCS ini bukan hal yang baru diketahui oleh agensi penguatkuasa dan badan penyiasat. Ini juga merupakan di antara kecurangan besar yang melibatkan dana awam diketahui setakat hari ini, selepas daripada skandal 1MDB.
“Justeru tidak ada sebarang alasan munasabah bagi Peguam Negara melengah-lengahkan pendakwaan terhadap individu-individu korup yang terlibat,” katanya lagi.
Tambah Kamil, watak watak di sebalik skandal LCS dalam modus operandi pengubahan wang haram sama seperti skandal 1MDB dan dikhuatiri didalangi watak yang sama, harus diselesaikan segera di mahkamah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.