Kerajaan BN – PN dipersoalkan kerana akaun belum terima (receivables) Petronas Dagangan (PetDag) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan ini.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung mendakwa terdapat peningkatan ketara dari bulan Januari hingga Jun 2022 ke atas bayaran belum terima PetDag sebanyak 295%, daripada RM3.49 bilion kepada RM10.3 bilion.
Dalam tempoh sama katanya, bayaran belum terima TNB pula didakwa naik mendadak daripada RM8.62 bilion kepada RM19.17 bilion, bersamaan peningkatan RM1.76 bilion sebulan secara purata.
“Akaun belum terima ini telahpun mencapai tahap yang sama dengan hasilnya daripada Mac hingga Jun 2022, iaitu RM19.14 bilion.
“Untuk menampung kos operasi yang kian bertambah, TNB terpaksa membuat hutang jangka masa pendek sebanyak RM11.98 bilion supaya kewangannya dapat terus bertahan.
“Disebabkan kerajaan tidak sempat membayar subsidi kepada PetDag dan TNB, kedua-dua syarikat ini didakwa dijadikan kambing hitam dan dibebankan dengan hutang sebanyak hampir RM30 bilion. Hutang ini sepatutnya ditanggung oleh kerajaan,” dakwa Chean Chung dalam kenyataan hari ini.
Tegas ADUN Semambu itu, tindakan tidak sepatutnya dilakukan oleh Kerajaan BN – PN itu didakwa seolah olah menyembunyikan hutang negara di bawah akaun TNB dan PetDag, supaya kewangan negara dilihat lebih elok menjelang pembentangan Belanjawan 2023.
Katanya, keadaan itu memeranjatkan dunia korporat kerana langkah luar biasa tersebut didakwa mengganggu kelangsungan dan prospek kedua-dua syarikat besar berkenaan.
“Saya menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul tampil memperjelaskan rasional langkah yang diambil ini (menyembunyikan hutang), serta bilakah kerajaan akan membayar hutang kepada PetDag dan TNB supaya kontraktor, pekerja dan pemegang taruh lain tidak menjadi tunggangan bawah tindakan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, Belanjawan 2023 akan dibentang pada 7 Oktober ini dan sehingga kini kerajaan BN – PN sering menggambarkan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil biar pun menanggung subsidi besar bahan api dan tenaga.
Tidak seperti negara negara Eropah yang terkesan dengan perang Rusia – Ukraine dan rakyat mereka tidak puas hati menghadapi peningkatan kos bahan api dan tenaga, Malaysia dijangka hanya akan menaikkan harga selepas Pilihan Raya Umum ke 15.