Umno kelihatan mabuk berpolitik untuk memastikan BN terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dengan berkeras mahu membubarkan Parlimen sewaktu banjir.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, PRU 15 sewaktu banjir hanya menyusahkan rakyat dan tidak boleh dibayangkan huru hara proses menyelamatkan mangsa di tengah tengah kempen politik.
Oleh itu, beliau menyamakan idea gila politikus Umno itu seperti melaksanakan rampasan kuasa Langkah Sheraton pada waktu wabak Covid 19 mengganas. Akibatnya hampir 30,000 nyawa melayang dan kejatuhan ekonomi yang teruk.
“Ketika pihak lain sibuk memastikan kepentingan rakyat dan harta benda terpelihara, sikap Umno yang terus mahu berpolitik amat dikesali dan perlu dibantah oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Begitulah sikap Umno semasa bersekongkol merencanakan Langkah Sheraton (pada 2020). Umno dan Pas sanggup terlibat dengan pengkhianat Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat walaupun wabak Covid-19 sedang mengancam seluruh negara.
“Sikap bongkak dan pentingkan kuasa Umno ini wajib dibantah dan keutamaan untuk melindungi nasib rakyat menghadapi bencana banjir perlulah didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Ibrahim jelas kesal dengan sikap Presiden Umno yang bermati matian mahu PRU pada hujung tahun ini kerana menjangkakan BN akan menang mudah dengan mengeluarkan semua pengundi tegar parti itu mengharung air banjir.
Sedangkan katanya, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum ini mengeluarkan pendapat agak sederhana menafikan hasrat untuk mengadakan PRU di musim tengkujuh.
Manakala cadangan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula yang mahu PRU sebelum banjir, kata Syed Ibrahim mempunyai kesan yang sama sahaja, kerana tidak diketahui bilakah tarikh sebenar banjir besar atau banjir kilat akan melanda.
“Apa yang melucukan apabila para pemimpin Umno berdalih pula dengan mengatakan Parlimen perlu dibubarkan sebelum musim banjir, walaupun masing-masing mengakui tidak tahu bila bencana itu akan melanda,” katanya.
Oleh itu, Pengarah Biro Modal Insan KEADILAN itu menyeru agar rakyat menyokong PH yang lebih menumpukan persiapan banjir di negeri negeri yang diperintah mereka.
“Berbeza dengan Zahid dan Umno yang tidak hiraukan penderitaan dan trauma mangsa banjir yang kehilangan ahli keluarga dan kerugian harta benda, pemimpin PH di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang lebih awal telah membina rangkaian kerjasama antara Kerajaan Negeri bagi menghadapi risiko banjir pada bila-bila masa.
“Pelbagai peruntukan termasuk program simulasi, bantuan kelengkapan jentera operasi dan pusat pemindahan sementara (PPS) telah disenaraikan untuk memastikan risiko bencana banjir dapat dihadapi dengan kadar yang minimum,” katanya lagi.