Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dilihat bukan semata mata gelombang pengundi menolak gabungan tertentu sahaja tetapi terpecah pecah menjadi arah tuju politik yang kurang jelas.
Hal tersebut, bagi Ketua Penerangan KEADILAN agak membimbangkan kerana berbanding PRU 14 lalu gelombang terarah kepada menolak kleptokrasi. Kali ini bercampur campur dan parti yang memainkan isu kaum dan agama sempit mendapat sokongan meluas di banyak kawasan.
“Saya rasa ada dua tiga trend yang kita kena teliti. Katalah Lembah Pantai, PH tambah majoriti. Tetapi masa sama di banyak tempat kita lihat ada trend gelombang kepada PN
“Di Lembah Pantai PH meningkat majoriti 14,000 undi. Di masa sama kita tengok kemenangan setengah pemimpin seperti Amirudin Shari (menang besar di Gombak), Aminuddin Harun menang majoriti besar di Port Dickson.
“Namun di tempat lain kita lihat seakan akan ada gelombang berdasarkan geografi (sebelah Utara, Tengah dan Timur). Ini sebenarnya sedikit merisaukan kerana seakan ada realiti sosial politik yang sangat berbeza antara wilayah
“Di Utara ada satu gelombang. Di tengah dan Selatan ada gelombang berbeza. Ini bagi saya merisaukan. Lebih dari itu saya belum sempat meneliti,” katanya kepada Suara Keadilan.
Cuma, menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, PH tidak menjangka banyak pengundi akan termakan kempen murahan di tiktok yang faktanya separuh benar atau sama sekali dusta untuk menjadi pendorong mereka mengundi menolak tawaran memulihkan negara oleh PH.
“Pukulan paling hebat kepada kerusi kita di Kuala Kedah, Merbok, Kulim Bandar Baru, Permatang Pauh dan Alor Setar. Itu satu pukulan yang tak diduga dan saya masih sedang melihat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam kemaraan PN kali ini yang paling terkesan adalah BN yang kehilangan banyak kerusi.
“Tidak boleh dinafikan parti paling teruk terpukul adalah BN.
“BN banyak tewas kepada PN. Saya tak sangka Baling jatuh ke tangan PN atau Rompin atau Tanjong Karang.
“Malam (keputusan PRU) yang mengejutkan,” katanya lagi.