Majlis Raja Raja Melayu yang bersidang hari ini mengesa agar dihentikan sebaran isu perkauman atau agama dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Majlis itu juga mahu Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk untuk menyemai “semangat kebersamaan”
Perkara tersebut dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 hari ini.
“Beta berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.
“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi,” titah Baginda.
Dalam menyemai semangat kepatuhan kepada undang undang dan kerukunan hidup berbilang kaum itu Majlis Raja Raja turut mahu prinsip Rukun Negara dan semangatnya diperteguh dalam kalangan rakyat.
“Semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara hendaklah seharusnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja.
“Sehubungan itu, beta mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis-majlis yang bersesuaian,” titah Baginda semalam yang memetik dua prinsip utama Rukun Negara iaitu Keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang undang.
Kedua dua prinsip itu, kata Baginda amat penting untuk memastikan agensi agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab.
Tuanku Muhriz juga menegur proses melantik hakim yang menurut Baginda terdapat kelemahan dan perlu diperbaiki.
Baginda bertitah agar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) ditingkatkan keberkesanannya.
“Pada masa ini JAC mempunyai 9 anggota. Empat ahli JAC merupakan hakim yang memegang jawatan, manakala 5 lagi individu yang dilantik Perdana Menteri.
“Beta mencadangkan agar pelantikan 5 ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri. Sebaliknya diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang undang Sabah, Persatuan Peguam bela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen
“Dengan ini anggota jawatankausa JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana mana pihak,” kata Baginda lagi.
Baginda berharap dengan cadangan berkenaan JAC akan mampu memilih hakim dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil.