Gelombang undi Melayu memenangkan PN tidak berlaku di Johor pada Pilihan Raya Umum ke 15 lalu mungkin kerana pengaruh Pas yang tidak kuat di negeri itu sejak berdekad dekad lalu.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berbeza dengan keadaan negeri negeri di Utara dan Timur Semenanjung, pengaruh Pas yang kuat boleh dijadikan penyebab banyaknya parti itu bersama Bersatu memenangi kerusi parlimen.
“(Tidak banyak menang) sebab Pas tak kuat di Johor. Kalau nak kira (kaum) Melayu, (Johor) dulu kubu kuat Umno dan sebagainya.
“Saya rasa mungkin kerana gelombang (sebelah Utara) tak sampai ke Johor, walaupun ada Muhyiddin di situ. Sebab Johor utara (terletaknya Ledang) ini benteng juga
“Jadi ramai pahlawan yang kuat melawan di Johor utara dan dia tak sampai ke tengah dan selatan,” katanya kepada Suara Keadilan.
Bagaimanapun menurut Syed Ibrahim lagi, Pakatan Harapan masih perlu membuat kajian terperinci mengenai kemaraan PN di Semenanjung termasuklah di Johor bagi memudahkan strategi politik dirangka pada masa hadapan.
“Saya rasa kena buat kajian untuk memahami kenapa kesannya terhad (di Johor)
“Ada kesan tetapi persaingan itu lebih antara BN dan PN. Bukan antara kita (PH). Pecah undi berlaku antara mereka, dan PH ada sedikit kelebihan,” katanya lagi.
Dalam PRU 15, PN hanya menang dua kerusi parlimen di Johor, iaitu Mersing dan satu lagi Pagoh, di mana Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding. Kerusi kerusi lain didominasi persaingan antara PH dan BN.