Di tengah tengah retorik perkauman mengila yang dimainkan oleh pembangkang dari Perikatan Nasional, sektor kesihatan negara akan dipastikan kekal buta kaum dan agama.
Demikian ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam wawancara bersama Bernama Radio baru baru ini.
Menurut Dr Zaleha, sektor kesihatan akan terus neutral berlandaskan piagam perkhidmatannya sejak sekian lama, demi memberi rawatan terbaik kepada 32 juta rakyat.
“Misi dan visi, tentunya saya akan memastikan visi dan misi selaku Menteri Kesihatan selaras dengan kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah termaktub, di samping memastikan setiap perkara dilaksanakan selari dengan dokongan Kerajaan Perpaduan.
“Melihat suasana masyarakat yang sedang disaji dengan agenda perkauman sempit oleh sesetengah ahli politik, perlu difahami dan ditekankan bahawa sektor kesihatan adalah untuk semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
“Agenda mengutamakan rakyat merupakan keutamaan oleh pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi beliau sebagai wanita pertama yang menduduki jawatan Menteri Kesihatan, sudah pasti naluri keprihatinan amat tinggi untuk memenuhi apa yang diinginkan rakyat dan warga penjawat awam dalam sektor berkenaan.
Di samping itu, kata Dr Zaleha, beliau juga sedang meneliti perkara-perkara yang menghujani dalam komentar dan mesej-mesej di media sosial berkenaan pekhidmatan kesihatan negara dan akan cuba mencari penyelesaian terbaik selaku Menteri Kesihatan.
Beliau juga berjanji akan meneruskan mana mana usaha baik yang ditinggalkan oleh Menteri Kesihatan terdahulu
“Harapan mantan Menteri Kesihatan sebelum ini agar dapat meneruskan pejuangannya membawa sektor kesihatan ke peringkat lebih cemerlang, jawapan saya hal itu sudah pasti akan diteruskan mana yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
“Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang perlu diteliti semula atau ditambah baik. Namun begitu, dalam membuat keputusan yang besar melalui sektor yang terpenting ini, perkara-perkara tersebut sudah pasti perlukan masa untuk ditekuni satu persatu.
“Buat masa ini, saya masih dalam proses meneliti segala polisi sedia ada supaya keputusan adalah selari dengan agenda mendahulukan rakyat, dan mencapai matlamat Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.
Pelantikan Dr Zaleha sebelum ini mencipta sejarah kerana buat pertama kali seorang wanita diangkat sebagai Menteri Kesihatan.
Kementerian Kesihatan adalah kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan dengan memiliki 40 Unit atau bahagian.