Sebulan setelah menjadi Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata beliau telah pun selesai bertemu dan berbincang dengan pelbagai pihak bagi menetapkan hala tuju ekonomi negara.
“Saya tidak banyak muat naik kandungan kerja seharian kerana saya faham kesan perencanaan ekonomi banyaknya akan mengambil masa yang lebih panjang sebelum hasilnya dirasai, apatah lagi dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan kedudukan kewangan negara yang dilemahkan oleh ketempangan tadbir urus sebelum ini.
“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.
“Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh (stakeholders) utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain,” kata Timbalan Presiden KEADILAN itu dalam satu catatan di Facebooknya.
Beliau juga berkata, masalah utama dalam negara ketika ini adalah inflasi dan rakyat boleh memainkan peranan dalam kempen mengekang inflasi.
Katanya, mengawal inflasi boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga dengan memberi subsidi, meningkatkan persaingan pembekal dengan menangani monopoli serta menambah bekalan termasuk dengan mengimport.
Bagaimanapun, katanya usaha di sebelah pembekal perlu diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna (consumer behaviour) yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan adalah lebih anjal.
Rafizi turut menegaskan usaha anjakan ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar serta penggunaan aplikasi teknologi akan memberi rakyat pendapatan yang lebih baik daripada sebelum dan lebih bersedia menghadapi inflasi.
“Ujian sebenar ialah bagaimana saya berjaya melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat.
“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baru yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.
“Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani. Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur.
“Masa sebulan telah memberi saya gambaran yang mencukupi untuk berlari dengan lebih pantas mulai Januari ini,” katanya.
Rafizi berkata, akan ada polisi yang boleh menghasilkan kesan segera dalam ekonomi tetapi banyak polisi hanya boleh dituai hasilnya setelah bertahun tahun
Sebahagian perancangannya, menurut beliau, akan akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara.