Terdapat 10 jenis barangan yang sering dikawal harganya dan diberi subsidi.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh (PH) berkata tohmahan yang mengatakan kerajaan tidak mengawal harga barang seperti yang biasa didengar adalah tidak benar.
“Kerajaan Malaysia amalkan ekonomi pasaran bebas di mana sesebuah barangan dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan, iaitu supply dan demand. Ia saling bergantung kepada pasaran global terutama barang barang yang bahan mentahnya bersumberkan import.
“Buat pengetahuan Tuan Yang di-Pertua, kita ada 10 barangan dikawal harganya. Daripada 10 itu, 6 bersubsidi dan 4 dikawal harganya.
“Ada barang yang kita kawal, beri subsidi seperti LPG, diesel, RON 95, ayam bulat, telur gred b dan c, minyak masak paket. Ini kita kawal harga dan kita subsidikan.
“Kemudian ada barang kita kawal tetapi tidak subsidi seperti pelitup muka, rapid test kit, minyak masak botol, gula dan tepung,” katanya dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Madius Tangau (PH – Tuaran).
Selain itu, kata Fuziah, kerajaan juga ada skim maksimum musim perayaan. Barang seperti daging ayam kita kawal harganya begitu lama, sejak Februari 2022, manakala daging khinzir kita kawal waktu musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Di luar waktu itu, katanya, rakyat bebas membeli ikut harga pasaran.
Mengenai soalan tambahan Tuaran ke atas harga khinzir yang mahal di Sabah sehingga RM58 sekilogram pula, Fuziah berkata KPDN hanya mengawal rantaian bekalan yang terakhir sebelum sampai kepada pengguna.
Isu ternakan biasanya dipengaruhi harga bahan makanan haiwan yang perlu diurus oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
“Memang diwujudkan satu sekretariat khas di antara dua kementerian, iaitu KPDN dan MAFS. Sekretariat ini bertanggungjawab untuk berbincang dan harga itu dapat dikawal kerana kita ada faktor luaran seperti makanan haiwan.
“Ia menjadi penentu harga daging. KPDN kita dihujung supply chain. Namun begitu kami bertanggunjawab terhadap pengguna, dalam masa sama pihak MAFS menjaga industri, jadi kita nak menang menang di dalam keadaan ini
“Kita cuba mengimbangi keperluan industri dan keperluan pengguna. Kita akan cuba yang terbaik,” katanya lagi.