Ahli Parlimen Putrajaya dari PN semalam mempersoalkan mengapakah Kerajaan Perpaduan tidak membawa game changer dalam sektor ekonomi sejak 4 bulan memegang kuasa.
Oleh kerana soalan tersebut dibuat di Dewan Rakyat, menurut Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, beliau tidak boleh mencelah untuk menjawab.
Maka forum yang ada hanyalah di TikTok dan beliau berkata persoalan game changer bukan isu pokok dalam pemulihan ekonomi negara.
Malah jelasnya, perkataan game changer itu sendiri membayangkan kerangka besar, sedangkan keperluan pelabur dan perniagaan adalah pematuhan undang undang serta keupayaan pimpinan kerajaan mentadbir dengan baik
“Saya nak bagi beberapa jawapan. Game changer tak payah pakai perkataan besar, tetapi perkataan yang masuk akal kalau dibuat dengan baik dan akan mengubah keadaan.
“Game changer pertama, jangan makan rasuah. Jangan gunakan peruntukan kerajaan serta wang rakyat, contohnya untuk membiayai parti sendiri dalam pilihanraya.
“Jangan sampai kena heret ke mahkamah dan akaun parti dibekukan kerana jumlah wang yang masuk dalam parti mengalahkan syarikat korporat besar,” katanya sinis.
Menurut Rafizi lagi, game changer kedua adalah keperluan kerajaan hari ini untuk berbelanja dengan berhemah.
Katanya perkara yang boleh dikecilkan perlulah diminimumkan dan wang penjimatan boleh diagihkan untuk kebajikan rakyat.
“Ketiga, selesaikan sesuatu masalah ekonomi atau rakyat dengan menumpukan kepada punca dan selesaikan puncanya. Contoh harga barang berpunca daripada bekalan makanan, sementara boleh gunakan wang rakyat untuk mengawal harga maka lakukan di samping pastikan bekalan makanan itu dan kapasiti penanaman ditingkatkan.
“Jangan ambil jalan singkat untuk popular, semata mata menggunakan wang rakyat dan terus berbelanja tetapi dalam masa sama punca masalah tidak diselesaikan. Akan sampai satu masa seperti berlaku dalam harga ayam dan harga telur yang mana bekalan tak ada, apabila kos menghasilkan ayam dan telur lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan kerajaan.
Manakala hal keempat kata Rafizi, ia sedang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan iaitu tidak menambah hutang negara.
Katanya, hutang amat mudah diambil namun akan diwariskan kepada generasi akan datang untuk membayarnya.
“Kalau keempat empat ini dapat dibuat, kita tidak perlu perkataan besar atau kerangka besar. Perkara ini akan memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur juga perniagaan bahawa kerajaan yang ada itu amanah dan boleh bekerjasama untuk sama sama membina ekonomi negara,” akhiri Rafizi.