Pelaburan besar besaran China ke Malaysia dijangka akan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan dalam jangka masa panjang dan boleh menyelesaikan masalah pengangguran negara.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN – Kubang Pasu) berhubung memorandum kerjasama (MoU) yang ditandatangani oleh wakil Malaysia dan China baru baru ini dikhuatiri tidak mendatangkan apa apa komitmen perniagaan.
“Berbeza dari MoU biasa, PM Li Qiang dan saya memutuskan tidak melayani MoU atau 9 cadangan lain yang tidak ada perancangan khusus pelaksanaan tahun ini atau selewatnya akhir tahun ini.
“Yang diputuskan ini akan dipantau oleh Malaysia di bawah MITI terutamanya, dan di bawah pengawasan PM Li Qiang, iaitu syarikat (China berkenaan) akan melaksanakan akhir tahun ini atau selewatnya awal tahun depan.
“Geely akan hadir awal bulan depan dan ini disahkan oleh pihak Proton untuk melaksanakan program di Tanjung Malim. Geely mengembangkan dari projek asal kepada kereta elektrik (EV) dan lain lain.
“Tentang peluang kerja yang disebut sebanyak 35,000, tetapi saya tidak fikir perlaksana 35,000 serta merta. Peringkat awal diperlukan Proton 1,500, syarikat lain belum menyebut,” katanya dalam sesi pertanyaan PM di Dewan Rakyat sebelah pagi.
Anwar menjangka MoU kali ini akan membawa pelaksanaan lebih baik kerana Malaysia tidak tandatangan MoU dengan syarikat yang hanya umumkan pelaburan tetapi tidak melaksanakannya seperti yang pernah berlaku sebelum ini.