Tindakan penyokong Pas mengugunakan ayat al Quran berhubung isu kelewatan pengagihan bantuan banjir di Kemaman amat dikesali.
Menurut Ketua Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, kenyataan penyokong Pas tersebut yang dimuat naik dalam laman komuniti Facebook penyokong Pas tempatan sangat tidak wajar dilakukan.
Dalam kenyataan tersebut, katanya, pemuatnaik mengumpamakan kelewatan pemberian dana banjir dengan penangguhan penurunan wahyu dalam kisah nuzul ayat surah al Kahfi.
Penyokong Pas seolah olah menyatakan kelewatan bantuan banjir satu tarbiah daripada Allah sama seperti kelewatan penurunan wahyu.
“Kenyataan ini adalah sangat bercanggah dengan pengajaran nuzul ayat sebenar. Tidak ada langsung kaitan di antara dua peristiwa ini. Bahkan ibrah atau pengajaran surah al Kahfi tidak ada sebarang kaitan dengan peristiwa politik.
“Sikap penyokong Pas yang sentiasa mengaitkan dalil-dalil al-Quran dan hadis dalam semua tindakan politik mereka menyerlahkan kejahilan mereka dalam memahami nas al-Quran dan hadis mengikut konteks yang sebenar yang sepatutnya difahami,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahmad Nadhir lagi, perbuatan tersebut jelas boleh merosakkan kefahaman Islam yang syumul dan mulia. Katanya, ajaran Islam tidak boleh dikotorkan dengan unsur membela fahaman politik sempit sesetengah parti.
“Oleh itu, masyarakat perlu dijelaskan dan disedarkan daripada ancaman kejahilan seperti ini.
“Agama Islam mesti dipelihara daripada ditunggang oleh penunggang politik bertopengkan agama,” katanya lagi.