Pelbagai bantuan kewangan, tambahan cuti dan pengecualian tol yang diumum oleh Perdana Menteri ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melambangkan kemurahan hati dan sifat ihsan beliau.
Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, kemurahan tersebut amat melegakan rakyat menjelang ketibaan sambutan Aidilfitri, terutama yang mempunyai keluarga atau sanak saudara tinggal berjauhan.
“Pengumuman itu bukan sahaja berita baik tetapi juga sebagai hadiah tambahan yang dapat menceriakan lagi seluruh umat Islam Malaysia yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilftri tahun ini.
“Berita-berita baik yang diumumkan semalam membuktikan bahawa Perdana Menteri yang ke 10 ini kaya dengan sifat ihsan, kasih sayang dan prihatin serta amat memahami keperluan rakyat yang menanti ketibaan Syawal sebagai hari kemenangan,” kata Noraini dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat berkata, dengan adanya cuti tambahan serta tol Rahmah percuma selama beberapa hari di semua lebuh raya maka rakyat yang kurang berkemampuan dijangka mengambil peluang mengunjungi sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu.
Dalam pada itu, beliau juga mahu rakyat berhemah menggunakan penjimatan wang daripada pelbagai bantuan yang diberikan oleh PM untuk kegunaan selepas hari raya.
“Bijak dan berhemahlah sewaktu menguruskan perbelanjaan diri dan keluarga.
“Utamakan keselamatan dan kesihatan. Memandu dengan cermat dan amalkan sikap bertoleransi sesama pengguna jalan raya,” kata Noraini lagi.