Rundingan agihan kerusi melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga negeri sudah 90 peratus selesai, kata Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata tiga negeri itu adalah di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Manakala jelasnya, rundingan lain melibatkan tiga negeri sedang berjalan dengan lancar.
“Kita beri kebebasan kepada kepimpinan negeri masing-masing untuk mengadakan rundingan berkaitan agihan kerusi, Kedah antaranya sudah mengadakannya beberapa kali.
“Beberapa negeri baharu sahaja memulakan rundingan, kebiasaannya proses itu perlu diadakan beberapa kali sebelum sebarang persetujuan dapat dicapai secara sepakat,” katanya.
Salahuddin sebelumya ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral semalam.
Sementara itu, Salahuddin turut menegaskan semua parti komponen dalam kerajaan bersedia menggempur tiga negeri yang dikata merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN)
“Saya yakin di Kedah kita mempunyai peluang agak baik, Kelantan dan Terengganu kita akan letakkan calon berpotensi.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, tiada perkara yang statik dalam politik, semua boleh berubah. Jadi, tidak mustahil untuk kita lakukan penampilan terbaik di ketiga-tiga negeri berkenaan,” katanya.