Pendekatan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ bersama musuh ketat parti itu Tun Mahathir Mohamad dan alasan yang diberikan oleh Hj Hadi kemudiannya mengundang pelbagai kontroversi.
Bagi Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, justifikasi baharu yang diberikan Hj Hadi hanya menjerumuskan Pas ke kancah kekeliruan yang dahsyat.
Kata Khalid, ungkapan bahawa Rasullulah memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia tetapi bertonggak pada bangsa dan kaum amat tidak cocok dengan sirah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Katanya, Pas juga seolah olah cuba mengubah sejarah perjuangannya sendiri yang antiperkauman sebelum ini.
“Pas nampaknya membawa dasar dan pendekatan baharu dalam gerakannya apabila menjadikan bangsa sebagai tapak perjuangannya dan bukan lagi Islam.
“Ini bermakna, dasar dan pendekatan Islam yang syumul dan lengkap, yang dibina atas kekuatan akidah, tanpa melihat pada bangsa dan keturunan, bukan lagi menjadi pendekatan Pas sebagaimana yang dibawa dalam perjuangannya sebelum ini.
“Adakah terselit juga dalam kenyataan tersebut satu pengakuan bahawa penubuhan Pas itu sendiri tersilap apabila keluar dari UMNO pada tahun 1950an dahulu?
“Bagi memberikan justifikasi kepada kenyataan itu, Hadi telah membuat tulisan panjang mengenainya. Namun panjang mana sekalipun tulisannya, ianya tidak boleh menutup hakikat bahawa pemahaman terhadap perjuangan Rasulullah hendak diberikan takrifan baharu semata-mata atas pendekatan baharu yang ingin dibawanya.
“Islam ditafsirkan mengikut nafsu dan kepentingan politik dan inilah sebabnya perjuangan Pas perlu ditolak,” kata Khalid dalam satu kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Shah Alam itu mengimbau kembali slogan perjuangan ketika Pas diterajui Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan politik berasaskan kaum sebagai assabiyah dan menyesatkan.
Katanya, perjuangan yang dibawa oleh Hadi dan Pas ketika ini pula amat jauh lari daripada perjuangan yang beliau dan rakan-rakan fahami dan sokong dahulu.
“Kalau dahulu kami menjadikan ‘Menggempur Pemikiran Assobiyyah’ sebagai tema muktamar, tetapi kini sudah tentu pemahaman ini sudah dibuang ke laut.
“Hadi sendiri nampaknya menyangkal segala asas-asas yang telah disepakati oleh Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Nor sebelum ini.
“Perjuangan yang berpaksikan akidah dan akhlak sekarang ingin dikaitkan dengan kaum dan bangsa. Sedangkan ramai para sahabat Ar-Rasul bukan dari bangsa Arab dan kaum Quraisy. Ingat lagi atau tidak Hadi kepada mereka, seperti Bilal Al-Habsyi, Salman Al-Farsi, Syuib Al-Rumi sebagai contoh?
“Patutlah ada ‘ulama’ mereka yang memutar-belit hadis sehingga mengistiharkan Bani Taa Mim sebagai Bani Tanah Melayu. Kalau ingin mengubah hala-tuju dan asas perjuangan sekalipun, janganlah cuba ubah ajaran dan sejarah Islam itu sendiri,” sinisnya.
Justeru, Khalid tidak menolak dakwaan netizen di media sosial bahawa apa yang dilakukan Hj Hadi dan Pas pada waktu ini mengadakan kerjasama dengan Tun Mahathir hanyalah untuk mencari sumber kewangan baharu bagi parti itu meneruskan hayat politiknya dan tidak lebih daripada itu.