Spekulasi ‘kerajaan tumbang’ atau Kerajaan Perpaduan akan digantikan kerajaan Perikatan Nasional dalam masa terdekat tidak lebih daripada persepsi pembangkang yang terdesak untuk menggagalkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang rancak dilaksanakan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, hakikatnya usaha untuk mengembalikan kerajaan Langkah Sheraton atau ‘pintu belakang’ itu amatlah sukar malah mustahil.
Katanya, Kerajaan Perpaduan amat kukuh dengan hubungan baik di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti kecil lain.
Oleh itu, jelas beliau, besar kemungkinan usaha pemulihan ekonomi PM Anwar akan berjaya dan kerajaannya akan bertambah kuat.
“Oleh itu, isu ‘tumbang kerajaan’ ini terus sengaja dimainkan oleh Perikatan Nasional sebagai usaha mensabotaj kerajaan memulihkan ekonomi negara selepas krisis ekonomi pasca pandemik di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.
“Usaha ini juga dilihat sebagai cubaan mengganggu gugat kemasukan pelaburan ke dalam negara yang hari ini semakin rancak.
“Keyakinan pelabur dari negara luar terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan serta keyakinan jaminan pembangunan pesat ekonomi negara sepatutnya disambut baik kedua belah pihak termasuk di pihak pembangkang. Bukannya cuba merosakkan pembangunan ekonomi selepas mereka sendiri gagal melakukannya ketika berkuasa,” kata Razeef dalam satu kenyataan.
Bagi beliau, rakyat yang berfikiran matang harus mengabaikan ‘angan angan kosong’ pihak pembangkang itu. Isu cubaan menggulingkan kerajaan, katanya, tidak perlu dipanjangkan mahupun diangkat oleh semua pihak.
Apatah lagi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pihak pembangkang agar berhenti mengganggu gugat kerajaan semasa.
Menurut baginda, ahli politik perlu mengutamakan lebih 30 juta rakyat rakyat serta memberi tumpuan pemulihan ekonomi berbanding perebutan kuasa politik.
“Sebelum ini, terdapat sumber menyatakan pihak Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa PM Anwar Ibrahim telah kehilangan sokongan majoriti.
“Perikatan Nasional dan Pas perlu menjadi pembangkang berkualiti dengan mengangkat isu rakyat dan bukannya sibuk mengguling kerajaan dengan cara kotor.
“Saya mengambil contoh isu air di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dilihat semakin teruk. Terdapat kawasan yang tidak ada bekalan air termasuk pada hari raya serta masalah air kotor yang tidak berpenghujung, walau kerajaan pusat telah memberi peruntukan besar untuk menyelesaikan isu ini.
“Daripada terus berpolitik adalah lebih baik pembangkang menyelesaikan masalah utama yang membelengu rakyat di negeri ditadbir mereka atau mereka pula yang akan diguling rakyat,” sinis rakyat.