Kerajaan Madani mahu rakyat beralih ke bidang ekonomi digital dalam meningkatkan produktiviti dan pemasaran perniagaan.
Untuk tujuan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata kerajaan telah menyediakan prasarana yang sebaik baiknya sama ada jaringan internet melalui talian tetap atau pun mudah alih yang tembus sehingga ke kawasan pedalaman termasuk di Sarawak.
“Saya perlu menyentuh beberapa perkara tentang program yang kita laksanakan, termasuk jendela yang kita telah sediakan gentian optik kepada 7.7 juta premis sejak 2020 lalu.
“Manakala bila saya sebut liputan 4G, sasaran asal ialah 96.9% tetapi kita telah cecah 96.92%
“Kita telah melengkapkan 839 komuniti Orang Asli dan kawasan pedalaman dengan akses jalur lebar tanpa wayar melalui satelit di lokasi Sabah, Sarawak dan perkampungan Orang Asli Semenanjung.
“Kita juga akan melengkapkan baki 3% kawasan berpenduduk,” katanya dalam ucapan pada Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2023 (WTISD 2023) di Atrium Plaza Merdeka, Kuching, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Sarawak akan menggunakan pusat ekonomi digital (PEDi) setempat yang disediakan kerajaan untuk memudahkan mereka memasarkan produk.
“Bila kita faham (pemasaran digital), kita tak perlu dari Song untuk datang ke Kuching jual (ikan) empurau misalnya
“Kamu boleh gunakan TikTok live dan itu boleh dilakukan, tetapi asasnya intenet yang baik, mudah dan laju amat berguna untuk kita masuk ke ekonomi digital,” katanya.
Selain itu, kata Fahmi, kerajaan juga sedang mempersiapkan pemasangan internet 5G ke seluruh negara. Pada April 2023, katanya, pelaksanaan 5G di seluruh negara mencecah 59.5%. Manakala di Sarawak telah mencecah 34%.
Kerajaan akan meningkatkan sehingga 80% 5G pada hujung tahun ini dan seterusnya pada tahun hadapan melengkapkan 100% capaian.