Kerajaan menggalakkan persaingan dalam kalangan industri bagi membolehkan harga barang dapat diturunkan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, kerajaan percaya monopoli dalam kalangan industri tidak harus dibiarkan terus berlaku kerana tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Melalui persaingan yang memberikan perkhidmatan dan produk terbaik dan murah kepada rakyat, usaha kerajaan memastikan pengguna tidak dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi akan berjaya.
“Kita (kerajaan) mencari jalan untuk memecahkan monopoli,” katanya.
Anwar menjawab soalan daripada Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada kerajaan akan memecahkan monopoli dalam sektor seperti tenaga elektrik bekalan air, dan penyelenggaraan lebuh raya.
Mengulas lanjut kepada bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu itu, Anwar bagaimanapun menjelaskan tidak wujud monopoli dalam sektor bekalan air kerana ianya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.
Begitu juga dalam sektor bekalan tenaga elektrik, dengan beberapa pengeluar tenaga bebas beroperasi, dan juga sektor penyelenggaraan lebuh raya.
Anwar pada 24 Mac lalu berkata, kerajaan menyemak semula semua monopoli yang wujud ketika ini bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang adil dan lebih baik.
Susulan itu semua kementerian diarahkan untuk mengkaji rasional di sebalik membenarkan sesuatu monopoli supaya ada penilaian yang adil terhadap isu itu.