Tindakan pelawak Jocelyn Chia yang mempersendakan Malaysia dan tragedi yang berlaku ke atas rakyat negara ini dikecam keras.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata lawak jenaka Jocelyn Chia dalam satu rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam amat memualkan dan tidak menunjukkan rasa sensitif terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa terutama terkait kehilangan pesawat MH370.
“Tindakan ini langsung tidak menunjukkan rasa sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia dan keluarga mangsa. Video ini juga jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya
terkenal dengan adab dan tatasusila.
“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan,” katanya.
Beliau berharap sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti itu pada masa hadapan dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara.
Sebelum ini, seorang pelawak wanita dipercayai kelahiran Singapura memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.
Menerusi klip video akaun TikTok, Chia membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding Singapura lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia, termasuk jenaka yang menyentuh kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Singapura hari ini memohon maaf atas keceluparan pelawak berkenaan yang menghina Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata dia sendiri terkejut dengan komen yang tidak patut dilontarkan itu.
“Kerajaan Singapura tidak mengiktiraf kata-kata atau tindakan yang menyebabkan bahaya atau menyakiti orang lain, dan Chia, yang bukan lagi rakyat Singapura, tidak sama sekali mencerminkan pandangan kami.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas komennya yang menyinggung perasaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.