Malaysia dijangka akan menjadi pusat data utama di rantau Asia Tenggara apabila menerima pelaburan dari syarikat Australia NEXTDC yang menjadikan Kuala Lumpur atau KL1 sebagai pusat pengoperasian pentingnya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil memaklumkan hal itu pada majlis pelancaran KL1 di Petaling Jaya, tengah hari tadi.
Menurut beliau, NEXTDC merupakan salah satu pusat data bertaraf dunia terbaik di Australia dan syarikat itu memilih Malaysia bagi memulakan operasi globalnya.
“Lokasi Petaling Jaya berhampiran dengan pusat KL dan hab perniagaan utama di Lembah Klang yang merupakan antara nadi pusat ekonomi Malaysia
“Ini akan membolehkan NEXTDC berperanan untuk menampung perniagaan Malaysia, syarikat pengkomputeran awam berskala hiper serta syarikat permintaan teknologi yang pesat dengan kebanyakannya berpotensi sebagai pelanggan keselamatan data pada tahap tertinggi,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, KL1 yang beroperasi secara berperingkat dalam 18 bulan merupakan pusat data dengan pengiktirafan Tier 4, iaitu standard industri tertinggi global untuk industri penyimpanan data.
Katanya, pelaburan syarikat berkenaan akan mencapai RM3 bilion dalam tempoh 5 – 10 tahun akan datang dan mampu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Pembangunan ini akan turut menarik lebih banyak syarikat syarikat awam dan digital global ke Malaysia yang dapat melonjakkan lagi transformasi digital serta pewujudan pekerjaan berkaitan,” kata Fahmi lagi.