Hubungan akrab antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) serta pegawai-pegawai kerajaan telah menyaksikan beberapa isu berlarutan sekian lama berjaya diselesaikan dalam rundingan.
Pada sidang media bersama Jokowi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Khamis, Anwar berkata antara isu penting berjaya dimuktamadkan adalah berkaitan sempadan maritim dua negara di Laut Sulawesi.
Ia jelasnya membuktikan bahawa perkara yang sukar diputuskan sebelum ini boleh diselesaikan dengan lebih mudah sekiranya wujud semangat ‘kekeluargaan’ antara dua negara.
“Hubungan sangat akrab ini memudahkan kita dalam banyak urusan… saya serta Presiden (Jokowi) amat berbangga kerana melaluinya kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahu
“Peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa yang singkat dengan Indonesia ini adalah luar biasa dan pastinya akan memberi banyak faedah dan manfaat buat rakyat dan negara,” kata Anwar.
Jokowi mengakhiri siri lawatan rasminya ke Malaysia semalam.
Kedua-dua negara menandatangi enam instrumen dua hala berkaitan ekonomi, perdagangan, sempadan dan maritim.
Enam instrumen tersebut ialah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka; Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi; Perjanjian Perdagangan Sempadan; Kerjasama Promosi Pelaburan dan Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.
Selain itu kedua-dua negara memberi jaminan kerjasama dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan peningkatan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, kegiatan dakwah yang sederhana serta pemahaman Islam juga akan diteruskan.
Sementara itu, Jokowi dalam sidang media sama menyifatkan lawatan rasmi beliau sebagai berjaya.
Beliau turut menyatakan harapan agar rundingan mengenai isu sempadan darat dan laut serta berkaitan pekerja migran Indonesia di Malaysia turut dapat diselesaikan melalui hubungan kekeluargaan serta kerjasama baik Perdana Menteri dan juga menteri berkaitan.
“Alhamdulillah, isu yang dirunding sejak 18 tahun berjaya kita selesaikan hari ini. Saya harap isu-isu lain yang disebut juga boleh diselesaikan segera dengan harapan Perdana Menteri masih Anwar dan di Indonesia presidennya masih Jokowi,” katanya