Gelombang hijau merupakan isu penting dalam politik di utara dan timur Semenanjung Malaysia namun pergerakannya melemah di sempadan Johor.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin bahawa gelombang itu telah terhenti di sempadan Negeri Sembilan dan Pahang serta tidak akan menyaksikan kekeliruan politik merenggut kewarasan orang Melayu Johor.
“Saya yakin gelombang hijau tak dapat melintasi sempadan negeri Johor kerana rakyat Johor sudah melihat pembangunan hebat di sini. Bukan kita kata selesai 100% tetapi pembangunan baik untuk rakyat
“Tak kan kita nak lihat negeri itu asalkan Islam selamat, minum air keruh tak apa, minum air karat tak apa.
“Kemudian bila kita menang 2 kerusi di Kelantan mereka kata puak anti Islam menang. Mereka menang maka puak pro Islam. Politik (mengarut) ini sementara sebab perkembangan minda rakyat (akan berubah) dan saya lihat anak muda tadi di Simpang Jeram turun begitu ramai menyokong calon kita Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan
“Arus yang dikatakan Islam terancam adalah sementara, dan benteng paling hebat menterjemahkan (kesederhanaan) Kerajaan Perpaduan ini ialah rakyat negeri Johor,” katanya dalam ceramah Perasmian Bilik Gerakan PH-BN di Perling, malam tadi.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian sebelum itu mengimbau sejarah politik perkauman yang telah merugikan rakyat Malaysia sejak merdeka, mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dan diredakan dengan penubuhan BN pada 1971. Kemudian berkumandang dalam skala kecil dan dimatikan terus pada 2008 apabila bergabungnya Pas dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Kini malangnya, kata Mohamad, hantu perkauman dikembalikan dengan kekuatan baharu oleh PN.
Beliau turut kecewa arus perkauman itu dipasakkan ke dalam otak generasi muda yang baharu tamat persekolahan dan mengundi buat pertama kali pada umur 18.
Oleh itu, Mohamad mahu rakyat Johor melihat kepada politik negara jiran Indonesia bila mana musuh politik Jokowi dan Prabowo yang merebut jawatan presiden dalam Pemilu akhirnya bersatu dalam kabinet, dan membangunkan negara itu sebagai antara ekonomi terbesar di dunia hari ini.
“Apa yang pelik Jokowi boleh bertemu Probowo mencari jalan perdamaian dan lebih penting membina Indonesia. Paling mengejutkan dua musuh politik bergaubung dan Probowo diangkat sebagai Menteri Pertahanan.
“Keberanian Jokowi bergabung tenaga dan membina Indonesia serta naik ekonomi begitu hebat sekarang ini kerana kestabilan politik.
“Inilah juga berlaku di Malaysia apabila tiada satu parti pun ada majoriti. Maka satu keberanian untuk menyelesaikan kemelut politik, Datuk Seri Anwar bersama PH bersetuju untuk bersama BN membentuk kerajaan. Ini satu perkembangan politik hebat di Malaysia
“Kalau ikut dendam peribadi, saya lawan BN 44 tahun. Tetapi kalau kita terus berlawan dalam keadaan negara tidak dapat membentuk kerajaan apa nak jadi kepada rakyat,” katanya.
Mohamad menegaskan kabinet yang diwujudkan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar hari ini adalah buta warna kaum dan agama.
Dasar yang diluluskan, katanya, untuk kebajikan rakyat dan bukan untuk kaum tertentu atau agama tertentu.
“Bila kita nak modenkan pesawah di MADA (Kedah), penanam adi 90% orang Melayu. Perlukan hampir RM4 bilion. Kita bawa bincang dalam kabinet.
“Tak ada seorang pun wakil rakyat bukan Melayu menentang belanja besar bangunkan sawah di MADA. Tak ada DAP kata RM4 bilion tak boleh, ini untuk Melayu, kami mana? Tak ada. Kita bincang dan semua setuju.
“Ertinya apa sahaja kewangan untuk bagunkan rakyat semua kami dalam kabinet bincang bersama.
“Kadang kala dalam kabinet, mesyuarat kami dah tak tahu yang mana satu UMNO, DAP, Amanah, KEADILAN, semua kita berbincang untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.