Kritikan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mempertikaikan tindakan Kerajaan Perpaduan mengerah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengedar beras putih tempatan (BPT) dilihat amat tidak wajar.
Bagi Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, pembangkang tidak sepatutnya mempolitikkan isu FAMA hanya bertugas untuk mengedar sayur dan buah buahan bukannya beras, dalam keadaan rakyat terputus bekalan BPT untuk kegunaan seharian.
“Saya nasihatkan pembangkang (PN) untuk bersama-sama mencari penyelesaian kerana isu beras ini mendatangkan kesan kepada semua orang tanpa mengira parti politik.
“Pembangkang perlu memberi cadangan yang membina, bukan merumitkan keadaan dan menyalahkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambah Yuneswaran, isu kekurangan beras tidak wajar hanya dipersalahkan kepada Kerajaan Perpaduan yang kurang setahun mentadbir, sebaliknya beban masalah itu juga perlu dipikul PN yang sebelum ini menerajui negara selama 33 bulan.
Katanya, berbanding dengan kerajaan terdahulu, Kerajaan Madani lebih serius dalam menyelesaikan isu bekalan dan menggunakan apa sahaja sumber kerajaan untuk memudahkan urusan pengedaran dan penjualan bahan makanan.
“(Sebenarnya) pelan yang tidak cekap oleh kerajaan sebelum ini menyebabkan shortage (kekurangan) beras tiba-tiba berlaku. Sebab itu, pembangkang tidak boleh menyalahkan Kerajaan sahaja.
“Walaupun Kerajaan Perpaduan baru 10 bulan mentadbir tetapi kita serius dengan mewujudkan satu kementerian yang khusus kepada keterjaminan makanan, sebelum ini (PN) tidak ada pun,” ujarnya lagi.
Malam tadi dalam ceramahnya di Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, Muhyiddin mencemuh tindakan kerajaan yang mengarahkan FAMA untuk terbabit dalam pengedaran beras.
Konon katanya, tindakan itu akan menyukarkan tugas harian FAMA mengangkut sayur sayuran dan buah buahan dari ladang ke pasar. Bagaimanapun, Muhyiddin tidak pula memberi cadangan agensi mana yang boleh digunakan oleh kerajaan bagi menggantikan peranan FAMA.