Peruntukan sebanyak RM3 bilion bagi projek pengairan diluluskan bagi memperkasakan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh 2 tahun berskala besar di MADA.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek itu antara lain merangkumi infrastruktur sistem pengairan dan jalan sawah bagi seluruh 231,000 ribu hektar kawasan agensi pertanian itu.
“Inisiatif itu bagi meningkat pengeluaran padi dan kadar sara diri (SSR) negara dengan skop yang terlibat dibawah pelan ini ialah pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan di kawasan MADA.
“Selain itu, peruntukan tersebut turut melibatkan projek pemulihan Empangan Pedu dan penyelengaraan Skim Pemindahan Sumber Air Jeniang Fasa 2,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammed Sabu berkata pelaksanaan inisiatif tersebut dalam proses penilaian perolehan melibatkan swasta.
Jelasnya, kaedah perolehan tersebut dilakukan melalui kaedah ‘request by proposal’.
“Kerjasama awam dan swasta di kawasan MADA akan dibiayai sepenuhnya oleh swasta yang akan dibayar kepada kerajaan semula selepas projek siap dan dijangka bermula pada tahun hadapan hingga 2025,” ujarnya.
Bagi memastikan keterjaminan padi negara, Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak untuk berganding bahu supaya kebergantungan negara pada bahan makanan import dapat diatasi.
“Katakan lima tahun lagi tiada siapa yang hendak jual beras kepada kita, jadi semua kena berusaha untuk cukupkan beras negara, ia ada tanggungjawab semua,” jelasnya. – Suara Keadilan