Pembangkang PN sewaktu Pilihan Raya Umum ke 15 tahun lalu mentohmah bahawa Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang liberal dan akan berkompromi dengan budaya songsang LGBT.
Namun menurut Ketua Penerangan AMK Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, terbukti apabila Datuk Sri Anwar diangkat sebagi PM beliau lebih tegas menentang LGBT berbanding kerajaan PN sebelumnya.
Kata Azha, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar di Dewan Rakyat baru baru ini adalah bukti bahawa tidak ada undang undang yang dirobah semenjak PMX memegang kuasa berkenaan LGBT.
“Pada 18 Oktober yang lalu, Datuk Dr Mohd Naim telah mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat bahawa tidak ada berlakunya sebarang perkahwinan sejenis yang didaftarkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sepanjang PMX menjadi Perdana Menteri.
“Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh PMX terus komited dengan pendirian membanteras segala unsur-unsur LGBT yang melanggar fitrah manusia, terutama sekali melibatkan sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.
“Kerajaan terus bertegas, sekiranya ada pihak yang cuba untuk membawa masuk unsur-unsur LGBT ke negara ini (maka akan dilakukan) seperti tindakan kerajaan menarik balik serta mewartakan perintah larangan terhadap jam berjenama Swatch di pasaran yang mempunyai lambang dan unsur LGBT,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Naib Pengerusi Biro Pendidikan AMK Malaysia itu lagi, ketegasan PMX dalam melawan LGBT tidak pernah ditunjukkan oleh PN semasa 33 bulan memerintah.
Katanya, pada waktu PN memerintah, mahkamah telah menarik balik pengharaman buku yang bertajuk Gay Is Okay dan kerajaan PN waktu itu tidak melakukan usaha lain dalam hal berkenaan.
“Maka kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Islam ini telah menjawab segala fitnah dan tuduhan jahat yang dilemparkan oleh pemimpin dan penyokong PN sebelum ini kononnya jika PMX menjadi PM beliau akan menghalalkan perkahwinan sejenis di Malaysia.
“Fitnah dan tuduhan yang dilemparkan itu hanyalah bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam serta memburukkan imej dan kredibiliti PMX,” katanya.
Pada kempen PRU 15 lalu pembangkang memfitnah kononnya Malaysia akan mengubah undang undang ke arah lebih liberal sekiranya Datuk Seri Anwar memerintah.
Fitnah tersebut dipercayai oleh pengundi di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sehingga mewujudkan gelombang penolakan yang besar ke atas calon calon Pakatan Harapan.