Sikap pembangkang yang dilihat mempolitikan isu mencabar undang-undang syariah yang kononnya berlaku sejak Kerajaan Perpaduan berkuasa adalah mengarut sama sekali.
Dalam satu perkongsian klip video laman X Pakatan Harapan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar baru baru ini menjelas di Dewan Rakyat, isu perundangan yang dibawa dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bukanlah berlaku setelah Kerajaan Perpaduan berkuasa, malah sejak sebelum itu lagi.
Senator Dr Mohd Na’im berkata demikian ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) ketika sesi tanya jawab menteri.
“Betul…betul saya bersetuju Yang Berhormat Kota Bharu, memang kalau kita tengok contohnya Kes Elin tarikh pemfailan dia Yang Berhormat Kota Bharu, berlaku semasa Yang Berhormat menjadi kerajaan (Menteri Undang-undang) lagi,” katanya.
Jelas beliau, dalam konteks tersebut tugas Jabatan Peguam Negara hanya menasihati kerajaan terdahulu dan Kerajaan Perpaduan yang memerintah hari ini.
“Hal ini kerana Jabatan Peguam Negara berpandangan oleh kerana undang-undang yang dicabar adalah undang-undang negeri maka dalam konteks tersebut kerajaan sebelum ini mengambil pendekatan untuk menyerahkan kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam,” ujarnya.
Sebelum ini, Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha mengemukakan cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).
Dakwa mereka 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.
Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.
Justeru, kedua-dua individu berkenaan menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.