Kememangan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman baru baru ini bukanlah satu referendum dari orang Melayu yang mahukan Menteri Besar Terengganu itu menjadi Perdana Menteri (PM) sebagaimana yang dipropagandakan oleh Pas dan pemimpin PN.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, kemenangan Pas di Kemaman bukan tiket untuk parti pembangkang itu mendabik dada boleh menguasai Putrajaya.
Malah Syed Ibrahim menyifatkan perkara berkenaan hanya retorik politik kerana Pas-PN tidak pula mendapat sokongan Melayu dalam PRK di Johor atau Pahang beberapa bulan lalu.
“Memang dalam kempen kita gunakan perkara retorik untuk membakar semangat pengundi bagi memenangkan calon menjadi Ahli Parlimen.
“Tetapi perlu untuk kita ingat, satu kerusi tetap satu kerusi, walaupun dapat majoriti 200 ribu undi.
“Jadi kalau ikut majoriti kerusi, Kerajaan Perpaduan masih lagi ada dua pertiga kerusi Parlimen, saya harap mereka berhentilah bermimpi di siang hari,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan PRK Kemaman yang menyaksikan calon Pas memperoleh 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang hanya mendapat 27,778 undi.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim tidak menolak desas desus anggota Pas mahukan kepimpinan golongan propesional dalam parti itu selepas nama Dr Samsuri diangkat sebagai calon PM.
Hal itu katanya, perjuangan Pas sebelum ini berteraskan kepimpinan agamawan dilihat mula cenderung kepada gaya pentadbiran teknokrat yang sekali gus mengurangkan penguasaan golongan ulama.
“Secara peribadi itu adalah masalah dalaman mereka (Pas), tetapi langkah itu (Dr Sam calon PM) boleh menimbul persepsi di kalangan penyokong (Pas) dan rakyat biasa.
“Jika dahulu Pas menegaskan kepimpinan mereka berdasarkan agamawan tetapi kini boleh pula dinaikkan teknokrat, jadi apa hala tuju mereka (selepas ini)?” soalnya.
Selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menamakan Dr Samsuri sebagai calon PM Perikatan Nasional jika menang di Kemaman ketika kempen PRK lalu, nama MB Terengganu itu menjadi popular sehingga terdapat gesaan daripada sesetengah penyokong PN agar beliau diangkat menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN bagi mengelakkan lebih banyak Ahli Parlimen gabungan itu menyatakan sokongan kepada pentadbiran PM Anwar Ibrahim kerana kelemahan pemimpin Bersatu mengendalikan hala tuju PN.