Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan jawatankuasa bertindak (task force) bagi mengkaji keperluan belanjawan tambahan untuk urusan pembangunan sekolah di negeri ini”.
Belanjawan tambahan itu berbeza daripada peruntukan RM16 juta setahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada tiga jenis sekolah.
Ia merujuk kepada sekolah agama rakyat (SAR), sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah jenis kebangsaan Cina.
“Kerajaan Negeri bersedia mewujudkan satu task force yang akan mencari jalan bagaimana untuk membuat belanjawan bagi menolong pihak sekolah dalam usaha menambah baik kemudahan sekolah.
“Peruntukan ini adalah berasingan daripada peruntukan sedia ada di mana ia hanya disumbangkan sebagai sebahagian daripada kos pembangunan sekolah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Cina Pin Hua, Klang di sini.
Tambah Abdul Khalid lagi, bangunan baru setinggi lapan tingkat itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik auditorium, bilik multimedia, makmal serta bilik muzik yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini.
Manakala, bangunan asrama yang baru didirikan adalah untuk keselesaan dan kesempurnaan para pelajar di samping mewujudkan persekitaran yang kondunsif untuk mereka.
Asrama ini juga dapat menempatkan pelajar luar negeri Selangor dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama belajar di sekolah itu.
Sehubungan itu, beliau mengulas mengenai isu penempatan pelajar Universiti Selangor (Unisel), Abdul Khalid memaklumkan pendaftaran pelajar berjalan lancar di mana dianggarkan kira-kira 1,000 pelajar sudah mendaftar.
Katanya lagi, perbincangan Unisel bersama pihak Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) juga masih diteruskan untuk mendapat penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak.