Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli ke Hong Kong minggu depan untuk bertemu ICAC (Suruhanjaya Bebas Terhadap Rasuah) bagi mendapat keterangan lanjut berhubung kes pemberian wang RM40 juta oleh jutawan balak Sabah, Michael Chia kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
“Saya akan ke Hong Kong minggu depan atau minggu berikutnya. Kita nak dapatkan jawapan ICAC kerana sehingga kini tidak ada apa-apa kenyataan rasmi. Pada masa sama pihak (di Malaysia) berminat untuk dapatkan maklumat.
“Kita tahu ada media (Malaysia) hubungi ICAC. Hal ini melibatkan nama baik dan reputasi ICAC sendiri,” kata Rafizi kepada pemberita ketika ditemui di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.
Jelas Rafizi, ICAC sebelum ini dikatakan telah membersihkan nama Michael Chia. Namun, penemuan baru di Malaysia berhubung pemberian wang RM40 juta kepada Umno Sabah kini melibatkan keluarga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Aziz.
Justeru laporan yang dikemukakan kepada SPRM hari ini menuntut fail siasatan dibuka terhadap Nazri apabila keluarganya mendapat manfaat dengan tujuan mempengaruhi keputusan membersihkan nama Michael Chia.
“Akan berlaku konflik kepentingan. Sebab itu kita desak Perdana Menteri Najib Razak arah Nazri bercuti. Berbeza dengan kes Shahrizat (NFC), Nazri adalah Menteri yang bertanggungjawab ke atas SPRM,” jelasnya.
Keadilan sebelum ini mendedahkan wujud unsur rasuah apabila kenderaan mewah Hummer berharga RM479,000 diberikan kepada anak Nazri Aziz , seolah untuk membersihkan nama Michael Chia.
“Nazri sampai hari ini tak nafikan (pemberian Hummer). Nazri seperti tak rasa bersalah dengan hujah, dirinya tiada kaitan (dengan pemberian). Mengikut tafsiran kami, kes ini ada asas untuk disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Seksyen 16 (a).
“Sebelum ini dalam kes NFC, kita beri semua maklumat yang ada, termasuk transaksi kepada Jabatan Jenayah Komersil. Tapi SPRM tak pernah hubungi. Sebab itu kita alu-alukan semua pihak termasuk wartawan untuk berkonsi maklumat yang ada untuk membantu pembongkaran,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau sudah bersedia dengan sebarang akibat dari pendedahan tersebut.
“Saya telah pertimbang risiko. Sebab itu saya kata, jika hal ini satu fitnah, Nazri Aziz boleh saman. Sekarang ini tidak ada sesiapa, meskipun Menteri, atau ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sekalipun, boleh sorokkan (sogokan).
“Mereka bukan sahaja perlu bersih, tetapi kelihatan bersih. Masyarakat perlu menuju ke arah itu,” tegas Rafizi.