Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan kembali ke Wisma Bousted minggu depan, kali ini sebagai pemegang saham yang membolehkannya akses kepada dokumen urusniaga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Kita akan ke Wisma Bousted minggu depan. Kali ini saya pemegang saham Bousted dan akan semak satu persatu,” katanya di hadapan hampir 1,000 hadirin sempena Ceramah Jelalah Penyelewengan LTAT di PPR Bandar Tasek Selatan, malam tadi.
“Orang selalu bertanya; kenapa saya beriya-iya sangat nak pertahankan (bekas anggota tentera)? Ya, dulu memang kita tak pernah tanya tentang hal ehwal dalaman angkatan tentera.
“Isu ini timbul sebab Menteri Pertahanan gelojoh gunakan kementerian Pertahanan. Dengan pendedahan yang Deepak buat, soal wang bekas anggota ATM diguna untuk membayar pihak tertentu, maka ada asas penglibatan.
“Wang RM 130 juta yang digunakan untuk membayar Raja Ropeah dan RM 30 juta kepada Deepak ini sama seperti kita gunakan wang caruman anggota tentera tentera untuk membeli cincin Rosmah,” kata Rafizi.
“Kita tau kepayahan bekas anggota. Ada yang 18 tahun, 21 tahun berkhidmat. Ada yang nak minta permit teksi tak dapat. Ada yang minta permit berniaga, tak dapat. Kena kerj asampai umur 65 tahun. Tapi, Umno-BN atas nama Melayu ambil tanah dan wang kemudian diali-babakan.
“Umno-BN juga sering gunakan imej tentera, kononnya jika berlaku perubahan dalam negara, maka akan berlaku pertumpahan darah. Ini mesej psikologi yang cukup besar.
“Sedangkan kini ramai bekas anggota tentera dan polis yang bersama dengan Pakatan Rakyat. Setiap hari ada sahaja Jeneral yang hubungi kita,”kata Rafizi.
Justeru atas keprihatinan melihat keutamaan kebajikan bekas anggota tentera, Rafizi berkata, tawaran Pakatan Rakyat ialah meningkatkan 5% caruman kerajaan ke dalam tabung pencen anggota tentera.
“Sekarang anggota tentera dapat 15%. Kalau Pakatan Rakyat menang, kita kan tambah 5%. Bermakna sebulan 20% dari jumlah gajinya dicarum dalam LTAT.
“5% ini akan kita gunakan untuk dilaburkan dalam tabung khas dalam LTAT. Keuntungan ini kita akan beri sebagai imbuhan kepada mereka yang tak berpencen, yang belum diselaraskan, soal rumah dan kebajikan,” kata Rafizi.