Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan mendedah butiran rundingan dengan Sultan Sulu daripada menjadikan isu pencerobohan di Lahad Datu bagi kepentingan politik domestik Umno-BN.
“Ada rundingan dibuat antara pemimpin Umn-BN dengan Sultan Sulu? Ini tak pernah dijelaskan. Nak bayar apa? Tanah siapa? Mereka (pimpinan Umno-BN) tak dapat jawab.
“Ada Sultan Sulu yang mempunyai kad keahlian Umno. Ini tak pernah dijelaskan kepada rakyat. Apa kaitan mereka (dengan Umno)?,’ kata Anwar pada sidang media di ibu selepas mesyurat pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Pas, hari ini.
Menurut laporan portal berita dan media sosial facebook beberapa bulan kebelakangan ini memaparkan gambar pertemuan antara Agbimuddin Kiran dengan pemimpin Umno.
Antaranya bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Aziz Shamsuddin, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Tegas Anwar, desakan Pakatan Rakyat bagi mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi membiahakan isu keselamatan negara masih tidak dijawab kerajaan sehingga hari ini.
Merujuk kenyataan bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim, Anwar berkata kelemahan kawalan di perairan negara sangat ketara sehingga penceroboh Lahad Datu bukan sahaja bolos masuk, malah berjaya melepaskan diri.
Tambah Anwar, Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia tidak pernah bermusuh dengan penduduk Sabah berketurunan Suluk, malah menganggap mereka sebagai sebahagian daripada keluarga.
“Kita tak berpearng dengan mereka. Yang kita lawan adalah pengganas,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan penubuhan Majlis Penasihat Keselamatan yang terdiri dari tujuh bekas jeneral untuk menasihat pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu keselamatan negara.
Turut hadir sidang media, Presiden Pas, Datuk Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Pas, Mohamed Sabu dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.