Kerajaan BN sepatutnya menyediakan peraturan operasi standard (SOP) kepada jabatan kerajaan yang menguruskan mangsa banjir.
Ahli parlimen Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abd Rahman berkata malapetaka kali ini memperlihatkan kecelaruan persediaan prosedur menghadapi banjir dan pemindahan mangsa berjalan secara tidak teratur.
“Belum pernah bilik operasi banjir di balai polis, dulu bilik operasi di Pejabat Daerah. Saya ahli parlimen Indera Mahkota pun sukar nak masuk ke balai dan sudah tentulah arahan berkaitan saliran sukar dilakukan kerana perbezaan antara polis dan Pejabat Daerah dari segi prosedur arahan.
“Polis tak ada kuasa mengarahkan pembesaran parit dan tali air (memudahkan aliran air). Saya dah lalui banjir ketika umur 20an lagi. Tiap-tiap tahun berlaku banjir, bila balai polis dijadikan bilik gerakan dan pihak polis setuju, struktur sebagai bilik gerakan banjir itu salah,” katanya.
Mengulas isu sama, ADUN Beserah Andansura Rabu berkata mangsa banjir seolah-olah ‘ditinggalkan’ oleh pihak berkuasa dan mereka terpaksa mencari tempat perlindungan bersendirian. Katanya, pihak berkuasa sewajarnya memberi pandu arah kepada mangsa untuk pergi ke tempat perlindungan yang diwartakan, agar mereka mendapat bantuan pada kadar segera.
“Oleh kerana kawasan yang ditimpa musibah luas maka penduduk mencari perlindungan di surau atau di dewan. Ada kawasan yang tidak diwartakan maka bekalan bantuan tidak sampai dan kami pergi menghantar bekalan kepada mereka.
“Di kawasan yang diwartakan pun bantuan lambat tiba dan berlaku kekurangan bekalan kain cadar, tikar, selimut. Kami beri bantuan dari derma orang ramai.Tak ada satu sen pun yang kami usahakan datang dari pemerintah,” katanya.
ADUN Semambu, Chen Chung pula berkata kerajaan pusat seharusnya menaikan nilai bantuan mangsa banjir kepada RM1,000 terutama menghadapi musim persekolahan tahun hadapan.