Konspirasi politik kedua telah menjadi kenyataan. Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan. Hakim sengaja menyambung waktu menjatuhkan hukuman selepas waktu pejabat yang dianggap ‘luar biasa’ bagi perjalanan mahkamah.
Tujuannya memasukkan Anwar ke penjara dan menghilangkan kelayakan beliau menjadi calon PRK Kajang.
Dalam respons segera, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, “Perasaan paling buruk adalah, saya tidak terkejut dan bersedia dari segi mentalnya untuk ketidakadilan ini”.
Bekas pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan berkata melalui laman Twitternya, dia terkejut dan meminta Anwar terus cekal.
“Saya tidak percaya ia boleh berlaku,” katanya.
Elizabeth Wong dari PKR yang juga Adun Bukit Lanjan berkata: “Memeranjatkan. Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar Ibrahim. Di mana keadilan?”
Ekoran keputusan itu, polis telah mempertingkatkan kawalan di luar mahkamah dan menutup jalan menuju Istana Keadilan di Presint 2, Putrajaya.
Manakala twitter dari Naib Presiden PKR Tian Chua jelas mengisytihar ‘perang’ terhadap kerajaan BN berbunyi: ‘Najib isytihar perang terhadap Pakatan, rakyat bersedia untuk bangkit habis-habisan’
Kronologi kes:
5:23 pm, Anwar berkata kejadian pada 1998 kini berulang apabila mahkamah juga mendapati beliau bersalah pada jam 5 petang.
“Ia berulang lagi, mereka mahu letak saya dalam lokap, sebab itulah mereka tidak mahu teruskan dengan mitigasi,” katanya.
5.11pm: Justice Balia berkata, “Kami akan memberi masa dan kembali dalam tempoh satu jam.”
Anwar bangun dan berkata, “Kita jalankan (menjatuhkan hukuman) sekarang.”
5.08pm: Karpal membalas, sekiranya Shafee berada di pihaknya, beliau akan meminta agar rayuan untuk mengurangkan hukuman itu dijalankan pada hari lain.
“Dia bercakap dengan lidah bercabang dan sebab itulah DPP upahan tidak harus dilantik,” katanya.
5.06pm: Shafee membantah dan berkata rayuan telahpun tertangguh.
5:03pm: Karpal memohon agar mitigasi dilakukan pada minggu depan.
4.57pm: Hakim Balia berkata pendakwaan mendapati hakim membuat kesilapan dalam keputusannya.
“Hakim membuat tafsiran salah berhubung integriti sampel. Beliau memutuskan bahawa beg plastik HKL telah diganggu.
“Kami meneliti bukti oleh IO Jude Blacious, apa yang dia buat adalah memotong bahagian bawah plastik dan memasukkan bekas itu kedalam setiap sampul.
“Gangguan itu pada beg plastik dan bukannya bahan bukti. Materi sampel tersebut masih utuh dan tidak menjejaskan sampel.
Katanya, hakim berkenaan menyimpulkan bahawa gangguan itu hanya ke atas beg plastik, dan telah memeriksa alasan penghakiman berkenaan.
“Kami mendapati hakim tiada alasan untuk menyimpang dari dapatan awalnya (ketika memerintah membela diri).”
Tambahnya, hakim itu juga membuat kesilapan dalam mendengar kenyataan pakar asing.
“Kami membenarkan rayuan dan mendapati (tertuduh) bersalah atas pertuduhan”.
4.55pm: Hakim Balia Yusof berkata ini adalah keputusan sebulat suara panel hakim. Mahkamah mendapati Anwar bersalah.
4.52pm: Persidangan mahkamah bersambung semula selepas rehat selama satu jam, dan dijangka akan menyampaikan keputusan.
MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar duduk bersama tiga orang adiknya berhampiran ibu mereka Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi mengetuai panel hakim, yang dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh.
4.26pm: Kira-kira 10 anggota polis beruniform dan pegawai unit khas berada di tingkat 2 banugnan mahkamah untuk mengawal kumpulan penyokong Anwar yang berada di luar, di luar kamar Mahkamah Rayuan.
4pm: Suasana dalam ruang mahkamah agak tegang memandangkan keputusan panel hakim masih tidak dapat dijangka.
Pintu masuk mahkamah sibuk dengan individu yang keluar masuk, tetapi individu yang telah mendapat tempat tidak berganjak dari tempat duduk mereka.
Penyokong Anwar semakin bertambah kepada kira-kira 30 orang yang berkumpul di luar kompleks mahkamah untuk menunggu keputusan dalam suasana tenang.
3.36pm: Hakim Balia berkata mereka akan meneliti penghujahan dan memberi isyarat bahawa barisan hakim akan membuat keputusan dalam kes tersebut.
3:31pm: Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli tiba di Istana Kehakiman dan bersalaman dengan para penyokong yang berkumpul.
Beberapa minit kemudian, anak sulung Anwar, Nurul Izzah tiba di kompleks berkenaan.
3.30pm: Shafee menamatkan penghujahannya.
3.25pm: Shafee meminta mahkamah menghalusi pengakuan doktor Pusrawi dengan teliti kerana ruangan terhad dalam laporan.
“Pesakit berkata beliau diserang dengan satu (objek) plastik dimasukkan ke dalam dubur (Saiful).”
Katanya, doktor itu juga menulis bahawa pesakit diliwat dan menasihati Saiful untuk pergi ke HKL.
3.22pm: Shafee menjawab beliau tidak hilang ingatan apabila meminta DP Vijendran memberi keterangan dari kandang tertuduh.
“Vijendran adalah peguam jenayah yang lebih baik berbanding saya, dan dia dinasihatkan oleh mendiang Christopher Fernando (Aris Rizal) untuk membuat kenyataan dari kandang tertuduh,” katanya.
3pm: Shafee membangkitkan mengenai satu kes di Queensland, Australia melibatkan kes pembunuhan yang berlaku pada 1984 dengan mayat ditutup dengan tuala dan ditanam dalam satu kubur cetek.
Beliau berkata kubur tersebut digali semua dan dan ujian yang dijalankan ke atas tuala tersebut menemui kesan air mani dan penyerangnya ditemui selepas ujian DNA.
“Selepas tempoh 13 tahun, masih ada sampel DNA ditemui. Penyerang itu kemudian didapati bersalah pada 2001.”
2.50pm: Shafee berkata pihak pendakwaan telah menjawab dengan jelas mengenai isu degradasi dan pencemaran.
Beliau merujuk kepada satu lagi kes dan berkata: “Kita bercakap tentang isu degradasi. Anda memerlukan jumlah yang sedikit. Seah (ahli kimia) berkata degradasi bermula sebaik cecair itu keluar dari badan.”
2.47pm: Persidangan mahkamah bermula.
2.40pm: Anwar tiba di mahkamah dan berjenaka dengan pemberita yang beliau solat Jumaat di Kajang dan duduk dekat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Manakala khutbahnya pula, kata Anwar, adalah mengenai pengharaman buku Ultraman.