Pemuda PAS Perak kesal kelekaan mengambil tindakan segera oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) terhadap perbuatan khurafat dan syirik yang dilakukan oleh ‘Raja Bomoh’, Dato’ Ibrahim Mat Zin di Perak hanya dijelaskan pada penggulungan perbahasan titah ucapan tahniah oleh Pemangku Raja Perak dari Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Mohd Nizar Zakaria yang menjelaskan bahawa kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (Ajaran Agama dan Amalan Salah), Enakmen Janayah Syariah Negeri Perak 1992 telah dibuka terhadap perilaku Dato’ Ibrahim.
Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata kenyataan rasmi daripada Kerajaan Negeri Perak tersebut dibuat hanya pada hari akhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak iaitu pada 4 April yang lalu. Beliau mempersoalkan fakta perbuatan ritual ‘menyeru’ agar ‘mayat-mayat’ MH370 ‘timbul’ yang dilakukan di Pulau Sembilan yang terletak berdekatan dengan Bandar Manjung pada 26 Mac yang lalu yang belum diambil tindakan.
“Sebelum itu pada 24 Mac yang lalu, Dato’ Ibrahim juga mendakwa serpihan pesawat MH370 telah dijumpai selepas mengadakan ritual di Parit tanpa ada sekatan terhadap perbuatan khurafat yang terus diamalkannya?
“Terkini, pada 9 April yang lalu telah tersebar luas di dalam laman youtube ‘Suara TV’ mendakwa Dato’ Ibrahim akan ke Negara Australia bagi meneruskan misi mencari MH370 di sana. Kami tegaskan, Kerajaan Negeri Perak dan JAIPk mesti hentikan tindak tanduk Dato’ Ibrahim ini yang akan memalukan Malaysia amnya dan Perak khasnya jika ianya dibiarkan terus dengan perbuatan khurafat dan syirik tersebut.
“Kami persoalkan, sudah sekian lama JAIPk membuka kertas siasatan terhadap Dato’ Ibrahim dan dimanakah kertas pendakwaan terhadap Dato’ Ibrahim sehingga sekarang ini? Berdasarkan maklumat dalaman JAIPk, dimaklumkan tiada sebarang kertas dakwaan yang telah dibuka oleh JAIPk sehingga kini,” katanya.