Tindakan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim bertanding kerusi Presiden parti itu, ketika anak sulungnya Nurul Izzah bertanding Naib Presiden dan terkini isterinya Dr Wan Azizah, presiden parti dan menjadi Adun Kajang dianggap mempraktikkan nepotisme oleh media pro pemerintah.
Mereka memainkan sentimen kononnya nipotisme berleluasa dalam PKR. Kononnya apa yang terjadi dalam parti itu adalah sesuatu yang tidak sihat. Jawatan penting berlegar dalam kalangan keluarga Anwar Ibrahim dan tidak boleh diagihkan kepada pihak lain.
Media arus perdana sengaja mengelirukan ahli PKR pada pemilihan kali ini. Hakikatnya, nepotisme bukan terhad kepada makna bersifat kekeluargaan. Konsep perniagaan kaum Cina amat mementingkan penglibatan keluarga. Mereka memberi kelebihan kepada kaum keluarga dan sanak saudara dalam mengembangkan sesuatu usaha niaga.
Namun adakah perniagaan seperti itu buruk? Tentu sekali tidak kerana mereka mampu membina empayar keluarga dan meningkatkan ekonomi keturunan. Perniagaan yang menjana keuntungan bukanlah nepotisme.
Nepotisme jelas khusus kepada tindakan buruk dan tidak diterima sebagai sesuatu yang boleh dianggap mulia dalam melakukan urusan perniagaan, pentadbiran atau kedudukan sosial. Sehingga kini, watak nepotisme sangat menyerlah dalam kepimpinan Umno BN dan bukannya Pakatan Rakyat.
Nepotisme yang diamalkan Dr Mahathir misalnya menyebabkan anak-anaknya Mirzan, Mukhriz dan Mokhzani kaya raya serta berkuasa. Tanpa Dr Mahathir menyelamatkan perniagaan perkapalan Mirzan pada 1998 , syarikat itu sudah pun muflis. RM1 bilion dana Petronas diguna untuk membeli perniagaan Mirzan. Begitu juga penganugerahan projek dan tender kerajaan, seringkali jatuh ke tangan anak-anak Mahathir.
Seorang satu undi
Sebaliknya, nepotisme sama sekali tidak berlaku dalam PKR yang mengamalkan kaedah pertandingan terbuka, sama ada di peringkat pencalonan sehinggalah hari pengundian. Konsep satu ahli satu undi memastikan tiada siapa dalam parti itu yang akan menang jika ahli tidak menginginkan mereka mentadbir.
Pengaruh bapa tidak mungkin mampu merasuah 500,000 ahli PKR. Sekiranya Nurul Izzah dipilih maka beliau dilihat oleh majoriti ahli sebagai layak untuk mentadbir parti. Sekiranya Dr Wan Azizah dipilih maka beliau layak untuk menjadi presiden, begitu juga Anwar Ibrahim.
Media arus perdana dan pemimpin BN telah kekeringan idea dalam memburuk-burukkan sistem pemilihan PKR yang sangat telus serta menyamai sistem pemilihan di negara maju Amerika Syarikat. Kempen tidak dilakukan secara membeli sokongan dan undi. Sebaliknya sistem BN penuh carca merba apabila pemilihan ditentukan oleh pengaruh, kuasa menteri dan pemberian wang sehingga ke peringkat akar umbi.
Selepas pemilihan PKR, parti itu akan menjadi yang terkuat dalam Pakatan Rakyat berdasarkan dinamik proses pemilihannya. Parti yang melalui kempen secara terbuka sebelum pemimpin dipilih tidak akan takut menghadapi proses yang lebih besar, seperti pilihan raya umum atau pilihan jalan raya sekiranya BN enggan menyerahkan kuasa selepas PRU 14.
Ayuh perkukuh PKR demi perubahan politik masa depan!