Pemuda PAS Perak komitet menyambut seruan Kerajaan Negeri Perak yang mensasarkan Negeri Perak bebas dadah pada tahun hadapan 2015 agar dapat direalisasikan jika semua pihak menjalankan tanggungjawab dan menumpukan fokus yang sama.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss walaupun pada tarikh 19 Februari negara akan menyambut Hari Anti Dadah Kebangsaan, di Perak saban tahun juga, katanya, peruntukan pencegahan dadah sebanyak RM200,000 yang disalurkan kerajaan tidak menampakkan hasil dan tidak berkesan.
“Oleh kerana penglibatan anak muda khasnya dengan gejala dadah ini, kami tampil menolak sentimen politik kepartian untuk membantu dan duduk semeja agar matlamat untuk membebaskan anak muda dengan gejala najis dadah ini benar-benar memberikan kesan yang positif. Sepertimana cadangan awal daripada pihak Kerajaan Negeri Perak untuk menubuhkan Pasukan Sukarelawan Khas Perak sebulan yang lalu amat tepat dan memerlukan tindakan segera jika kita ingin melihat usaha ini akan tercapai sepenuhnya.
“Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini juga telah didedahkan berkaitan bilangan orang yang kena pengawasan penagih dadah di Perak yang dikeluarkan oleh agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK) dari Januari hingga Julai lalu merekodkan jumlah seramai 5,981 orang amat menyedihkan. Manakala pada November 2013 yang lalu, kita dikejutkan juga tentang penyitaan harta benda kes dadah hampir RM1.2 Juta oleh Polis Bahagian Pasukan Narkotik Perak amat serius sekali.
“Bagi kami, Kerajaan Negeri Perak perlu bertindak segera dan bersikap realistik bagi menumpukan fokus besar ini serta bukan bersifat retorik semata-mata. Kami tidak bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi begitu sedih dengan suasana yang sedang berlaku akibat gejala dadah ini. Kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Perak agar perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak yang ingin membantu masalah penyakit masyarakat ini yang akan memberikan kesan negatif kepada Negeri dan Negara kita,” katanya.
.