Oleh: Muhammad Arif Bazli
Sastera merangkumi kesenyapan penuh dengan kesenyapan kekosongan. Ia merupakan salah satu pendobrak cabang perosak dibawa modenisme dari asal usul penciptaan kaum pemodal kapitalis bagi membantu kelangsungan tirani kerana mereka sama sekali menjauhi unsur kreatif.
Kemuncak unsur kreatif ini terjadi dari apa yang dipelajari oleh manusia genius terhadap pengalaman sesuatu kehilangan yang tragis bagi menentukan pengucapan mereka tanpa ucapan, maka sastera senyap perlu dilanjutkan bagi menghubungkan kehilangan yang tiada batas penyudah, pemadatan kosa kata, penggunaan kata yang ekonomi dan imej berlambang pelbagai bentuk .
Dilema pembentukan sastera Malaysia hari ini sangat berlawanan arus dengan tradisi struktual sastera yang bersifat bergerak membatasi teks retorik yang hanya membangkitkan apa yang tidak diucapkan berbanding kebiasaan pengucapan. Sastera Malaysia kebanyakkan kuat berceloteh secara riak permukaan telah meninggalkan makna dan gerak seni yang ternyata absurd. Kronologi seperti ini bakal meruntuhkan dwi inti sebenar perjuangan kesusasteraan dunia.
Sastera yang kuat berceloteh seperti perjalanan kiosk buku yang bersimpang siur makna dan diskripsi pembawaan berbagai aliran naratif yang langsung tidak memihak kepada tradisi sastera senyap.
Mengumpul kekaburan
Kiosk buku dalam bahasa iseng-iseng turut dikenali sebagai tempat mengumpulkan ketakaburan kata-kata para penulis. Para pemain di kedai buku meletakkan kata penulis mengikut zon masing-masing dan dalam setiap zon itu mewujudkan keriuhan yang membugar minda bagi pengunjung yang sudi melawat zon terbabit.
Pemain kedai buku seronok bermain dengan nama penulis tanpa meramas kandungan buku hatta walaupun sekali, maka setiap minggu diwujudkan carta buku yang paling laris. Mengingatkan kata-kata George Carlin, “Aku pergi ke kedai buku dan bertanya kaunter pertanyaan itu, ‘Di mana bahagian bantu diri?’ Beliau berkata jika dia memberitahu aku, ia akan mengecewakan tujuan itu. ”
Kelompok penulis borjouis mengambil kesempatan mengetengahkan produk novel mereka yang cepat mati pucuk itu dan para pentadbir kiosk buku yang terlalu rapuh prinsip akan mulai mengasimilasi karya tersebut ke dalam kedai buku mereka. Berita baik bibliomania, renunglah kata-kata abang besar dari Mumbai, Jerry Pinto.
“Aku tidak pergi ke kiosk buku untuk membeli. Itu merupakan borjuasi kecil. Aku pergi kerana tempat mereka yang bertamadun. Ia membuatkan aku gembira terdapat orang-orang yang duduk dan menulis dan menulis dan menulis dan terdapat orang lain yang menumpukan hidup mereka untuk membuat kata-kata dalam buku. Ia adalah indah. Seperti berdiri di tengah-tengah tamadun.”
Penulis kabaret
Mengunjungi kiosk buku hanyalah sekadar merompak idea dan raciplah baucer buku tersebut jika pada niat asal sekadar ingin membeli alat tulis. Teroboslah dunia yang terbentang membiru .Tatang dan tentang dengan kata hingga hilang gementar hidup .
Kedai buku yang wujud di negara ini sekadar sebuah pasar yang di penuhi ayam sejuk beku kerana kekurangan jualan maka mereka mengubah cara penjualan, mereka menggubah kata-kata indah tanpa sebarang makna dalam sebuah buku. Kebanyakkan orang yang rapuh idea menjadi pelanggan tetap kedai buku dan pentadbir kiosk buku dapat mengaut keuntungan dari hasil jualan buku-buku penulis kabaret ini.
Ketulusan sebuah buku adalah sabda alam dan hati manusiawi maka wujudlah lahiriah karya daripada percampuran pengalaman hidup yang dapat disedut oleh kebanyakkan orang. Hidupkan kembali naratif yang penuh dengan ironik suka luka tanpa bersetubuh dengan bombastik yang keterlaluan, agar ramai manusia turun melihat perpustakaan realiti seperti apa yang digambarkan oleh Doris Lessing.
“Apa yang boleh ditemui di sana telah dibuat singahsana diktator dan zalim: penghasut boleh menganiaya penulis dan memberitahu mereka apa yang perlu tulis, sebanyak mana yang mereka suka, tetapi mereka tidak boleh hilang apa yang telah ditulis pada masa lalu, walaupun mereka menjangkakan selalunya cukup.
Orang yang suka sastera mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian daripada fikiran mereka kebal daripada indoktrinasi. Jika kau membaca, kau boleh belajar untuk berfikir untuk diri sendiri”.
Membaca dan menulislah di kamar berbunga atau ketika merempat di bawah jambatan dan walaupun sekadar menjamah bacaan pamplet sewaktu mengunjungi muzium atau apabila bertemu dengan gadis yang berdahi licin untuk membaca fikiran mereka.
Jika sudah puas membaca di mana-mana maka beloklah ke perpustakaan bagi merungkai beribu pertanyaan dan kekusutan yang melanda hidup. Hanya di sesetengah kiosk buku sekadar merungkai uncang poket dan hidup menyembah kepalsuan kata demi sesuap komrad borjouis.