Satu rayuan petisyen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk dibacakan di Parlimen, kata PKR.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, permohonan itu diserahkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sepertimana Peraturan Mesyuarat 19 Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PKR juga bertindak memfailkan permohonan rasmi kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pemenjaraan Anwar.
“Permohonan tersebut difailkan pada 15 Jun menerusi peguam Anwar iaitu Jared Genser dan Sivarasa Rasiah.
“Kedua-dua usaha ini menyusul permohonan pendengaran semakan kes liwat II ekoran kenyataan bersumpah Datuk Ramli Yusuff, bekas pengarah jabatan siasatan jenayah komersil (CCID) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman Sivil yang menyokong kuat pembelaan Anwar bahawa beliau adalah mangsa konsipirasi politikdan wujudnya keterangan dipalsukan,” kata Nurul Izzah.
Nurul Izzah berkata, usaha membebaskan Anwar menerusi badan kehakiman harus berjalan tanpa sebarang campur tangan pihak eksekutif iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN), yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi politik pemenjaraan bekas ketua pembangkang tersebut.
Sementara itu, Sivarasa yang merupakan ahli Parlimen Subang menyatakan keyakinan terhadap peguam mewakili Anwar, Jared yang sememangnya mempunyai rekod baik, dan beliau juga pernah terlibat dalam kes ikon hak asasi manusia, Aung San Suu Kyi.
“Ini adalah usaha kita susulan daripada bukti kenyataan bersumpah yang menjadi hujah kukuh dan beliau (Jared) sentiasa memenangi kes yang difailkan,” katanya.
Pada masa sama, Nurul Izzah berkata tindakan rayuan petisyen di Parlimen merupakan sebahagian daripada pembaharuan Dewan Rakyat seperti mana yang dihasrat Pandikar.