Pengerusi Gerakan Harapan Baharu Mohammad Sabu menyeru agar pemimpin dan ahli politik tanah air tidak mengamalkan politik takfiri. Iaitu kafir mengkafir atau label melabel antara satu sama lain.
Katanya politik takfiri menyebabkan banyak negara umat Islam berpecah, seperti di Afghanistan, Mesir, Libya, Syiria, Iraq dan sebagainya.
“Di Afghanistan mujahidin yang berjaya menewaskan Rusia tapi akhirnya terjebak ke dalam politik takfiri dan berlaku persengketaan sesama mereka. Taliban mengalahkan mujahidin.
“Tapi Taliban pula tidak mendalam ilmu politik. Puak ini memusnahkan patung Buddha Bamiyan yang tidak disentuh pada zaman khalifah Abbasiyah atau Monghul. Akibatnya negara barat menggunakan alasan itu untuk menyerang Afghanistan.
“Di Mesir, Ikhwal Muslimin berjaya menguasai pilihan raya umum selepas tumbangnya rejim Mubarak. Bagaimanapun ikhwal berkeras meminda perlembagaan negara untuk memperkuatkan undang-undang Islam ketika Dr Morsi baru setahun menjadi presiden. Akibatnya, NGO dan parti parti kecil yang bersama mereka dalam pilihan raya umum menarik diri.
“Tinggal hanya ikhwan bersendirian. NGO yang menumbangkan Mubarak kemudian menaja gerakan Tamarud, tunjuk perasaan besar-besaran untuk menumbangkan Morsi. Akhirnya tentera merampas kuasa,” kata Mat Sabu ketika menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin Pas Pahang di Gombak, semalam.
Menurut Mat Sabu lagi, amat penting pejuang Islam di tanah air tidak terperangkap dengan agenda melabel sesama sendiri dan berjuang secara yang keras. Katanya, Morsi jatuh di Mesir kerana salah taktik dan terlalu cepat inginkan perubahan.
Di tanah air pula, katanya, label melabel menyebabkan golongan profesional Pas tersingkir secara keseluruhan dalam pemilihan pada Muktamar ke 61 lalu.
“Pergolakan politik dunia Islam sedikit sebanyak melanda Pas. Pemimpin Pas Dr Dzulkifli misalnya dilabel sokong LGBT, Dr Mujahid liberal, Hanifa lawyer dari neraka
“Timbul tuduhan munafik haraki, timbul kumpulan jebon. Begitu juga tindakan fizikal. Dr Hatta dibakar kereta, Dr Dzul ditumbuk
“Dalam muktamar lalu semua golongan bukan ulama dikalahkan. Saya tidak sedih saya kalah tetapi sangat sedih bekas Ketua Dewan Muslimat Zailah kalah. Zailah ini waktu banjir di Kelantan masuk dua minggu, dia masih di pusat khidmat.
“Saya tanya rumah macam mana, dia kata rumah dia orang bagi tahu air paras bumbung. Tapi dia tetap tak balik tengok,” kata Mat Sabu.
Beliau juga memberitahu penubuhan parti baharu perlu dilakukan segera kerana anak muda dalam Pas kini tidak sabar untuk berhijrah ke dalam DAP atau PKR. Sekiranya tiada wadah baharu maka anak muda yang tidak puas hati akan meninggalkan Pas dan masuk ke dalam perjuangan lain.