Seramai lebih kurang 9,000 peserta himpunan Bersih 4 di lokasi Nu Sentral bekas pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan aktivis politik Hishamuddin Rais mula berkumpul di atas jalan raya untuk bergerak ke Dataran Merdeka.
Keadaan di sekitar Brickfields itu mula sesak di setiap sudut dengan peserta mula melaungkan reformasi dan Bersih 4 serta diiringi nyanyian lagu Negaraku.
Selesai membacakan doa, peserta mula berarak ke Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka sambil membawa sepanduk bersaiz besar bertulis ‘Tangkap Najib’ ekoran pelbagai skandal yang terpalit dengan Perdana Menteri itu.
Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng juga kelihatan bergerak bersama peserta.
Sementara itu, kira-kira 2.20 petang peserta dari Pasar Seni mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka dengan diketuai beberapa pimpinan parti politik antaranya Timbalan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat Dr Afif Bahardin, Amirudin Shari (Adun Batu Caves), dan lain-lain.
Mereka turut dihiburkan dengan nyanyian dan alunan muzik yang dimainkan oleh kumpulan anak muda BangAst.
Peserta juga kelihatan bersemangat untuk meneruskan himpunan yang akan berlangsung berterusan selama 34 jam itu selain dilihat turut memberikan kerjasa kepada pihak polis.
Selain itu, ribuan peserta yang berkumpul di perkarangan Sogo juga mula bergerak kira-kira jam 2.36 petang ke Dataran Merdeka.
Turut kelihatan ialah, aktres Abby Abady yang juga hadir untuk memberikan sokongan.