Tindakan pembangkang dan para penyokong mereka di media sosial yang menghentam prestasi ekonomi negara secara berlebihan dan menyalahkan Perdana Menteri Malaysia membuta tuli ditegur Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Beliau mengulas kritikan penyokong pembangkang terhadap eksport negara yang merosot sejak awal tahun lalu tetapi tidak berasaskan fakta bahawa ekonomi dunia tidak menentu dan banyak negara lain yang turut menghadapi situasi sama seperti Malaysia.
“Boleh kritik, tetapi nak kritik itu berilah pandangan yang konstruktif dan sememangnya ia tugas pembangkang untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan.
“Masa kita pembangkang dahulu, kita juga beri pandangan dan cadangan kepada kerajaan,” katanya
Tegas Wong Chen, kritikan yang semberono tidak membantu negara untuk berkembang atau memperbaiki usaha kerajaan memulihkan ekonomi Malaysia yang terjejas teruk berikutan ketidakstabilan politik pada 2020 – 2022 lalu.
“Pihak pembangkang seharusnya lebih adil kerana Kerajaan Perpaduan baru setahun memegang pentadbiran, terpaksa memikul beban oleh kerajaan terdahulu.
“Perdana Menteri mewarisi isu-isu dan masalah ekonomi yang berdekad lamanya.
“Sekiranya benar pembangkang mahukan perubahan negara yang lebih baik, saya nasihatkan jangan asyik hendak bermain politik.
“Sebaliknya, fokuskan kepada kestabilan ekonomi baru senang negara kita capai tahap ekonomi yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Pembangkang sebelum ini mempersoalkan tahap eksport negara yang tidak meningkat sejak awal Januari. Sedangkan negara yang lebih berjaya seperti Singapura mengalami penurunan tidak dijadikan bandingan.
Misalnya, eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) menguncup sembilan bulan berturut-turut pada bulan Jun, selepas merosot sebanyak 15.5 peratus, dengan kedua-dua sektor elektronik dan bukan elektronik menyaksikan penurunan.
Kemerosotan itu berlaku menyusuli penurunan 14.8 peratus pada bulan Mei dan penguncupan 9.8 peratus pada bulan April.