Rakyat Malaysia tidak seharusnya terpengaruh dengan sebaran maklumat palsu di media sosial kononnya mikrocip akan dimasukkan ke dalam anggota badan apabila sistem maklumat penduduk Malaysia digitalisasikan sepenuhnya melalui Pangkatan Data Utama (PADU).
Setiausaha Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Kapten (B) Zulkifli Othman berkata, tiada cip yang bakal dimasukkan ke dalam tubuh sebagaimana filem aksi Hollywood, sebaliknya indentifikasi melalui ibu jadi sudah cukup untuk pengesahan kepada sistem maklumat PADU.
“Kerajaan Madani baru melancarkan PADU namun ia sering dipropagandakan oleh pihak pembangkang (secara menyimpang).
“Jadi saya menasihatkan rakyat supaya jangan takut dengan isu yang dibangkitkan, kononnya rakyat akan dimasukkan cip dalam anggota badan.
“Ini semua merupakan fitnah. Kita dicipta oleh Allah ada ibu jari yang tidak sama dengan seluruh manusia diciptakan,” katanya.
Tegas beliau, niat Kerajaan Madani mewujudkan PADU cukup baik bagi mendapatkan maklumat paling tepat setiap individu, terutama mengenai pendapatan golongan rakyat yang layak diberi bantuan.
“Jadi dengan PADU ini kita dapat memuatkan satu rangka data yang besar untuk melihat sendiri kedudukan rakyat kita
“Kita dapat memanfaatkan dan membantu seluruh rakyat (dengan PADU) dan ketirisan dapat kita atasi,” katanya lagi.