Melayu patut berhenti memperkenalkan diri mereka mengikut kaum dan menerima yang mereka kini hidup di dalam negara yang majmuk, kata bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, menjelang “perhimpunan baju merah” oleh kumpulan Melayu yang akan bermula pada 16 September.
Beliau mengingatkan Melayu yang mereka tidak lagi berdiri di Tanah Melayu atau Malaya, tetapi kini merupakan sebahagian daripada Malaysia, satu negara pelbagai kaum.
“Saya tahu, secara politiknya, ada yang tidak mahu (begitu). ‘Saya Melayu dahulu’, (kata mereka).
“Di mana negara anda? Tanah Melayu sudah tiada lagi. Kini ia Malaysia,” katanya semasa syarahan perdana beliau di Universiti Malaya hari ini.
Beliau berkata Tanah Melayu kemudiannya menjadi Malaysia kerana nenek moyang mereka sedar mereka adalah milik negara yang majmuk rakyatnya.
“Mengapa anda mahu tekankan keMelayuan anda, India atau Cina anda?” soalnya.
Rafidah berkata negara kini sedang melihat pelbagai kumpulan mengadakan protes terhadap satu sama lain kerana mereka diajar untuk bertoleransi dengan kemajmukan, daripada diajar menerimanya.
“Selagi anda hanya belajar untuk bertoleransi, inilah yang akan berlaku: baju kuning menentang baju merah, dan lama-kelamaan akan ada ungu lawan hijau, dan banyak lagi.”