Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata aktiviti perlombongan bausit di daerah itu perlu diharamkan terus kerana membawa lebih banyak kemudaratan berbanding keuntungan.
Beliau menganggarkan hasil kutipan kerajaan Pahang tidak sampai RM200 juta sehingga 2016, sedangkan kerajaan dan penduduk Kuantan menanggung kos jauh lebih tinggi.
“Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan nampaknya tidak mengenakan sebarang cukai ke atas perlombongan bauksit.
“Maka hasil kepada Kerajaan Persekutuan adalah kosong,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Fuziah berkata kos ditanggung kerajaan dan orang ramai termasuk pemuliharaan alam sekitar, membaiki jalan dan infrastruktur serta kehilangan pendapatan di kalangan penduduk.
Selain itu, kos rawatan kesihatan juga meningkat akibat pencemaran alam sekitar dan nilai hartanah menjadi susut.
“Oleh itu sudah sampai masanya perlombongan bauksit diharamkan terus kerana telah terbukti membawa kerosakan kepada majoriti penduduk sedangkan hasil kepada rakyat tidak berbaloi dengan kos yang ditanggung,” katanya yang mahu pengharaman itu berkuatkuasa serta merta.
Memetik laporan Sydney Morning Herald Ogos lalu, Fuziah berkata pengaruh Malaysia di pasaran bauksit China akan hilang menjelang tahun 2017 dan dijangka tidak akan kekal lama.
Ini kerana pengimport bauksit dari China memilih bijih bauksit yang berkualiti sedangkan kualiti bauksit yang dihasilkan di Malaysia adalah lebih rendah.
Katanya, pengeksport baru dari Australia juga dijangka mula mengeksport ke China dan akan memberi saingan kepada negara ini.