Nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat terus lemah. Kini parasnya di antara RM4.20 hingga RM4.30 untuk AS$1.
Terdapat ramalan kejatuhan berterusan nilai ringgit ini akan menyebabkan ekonomi gawat selepas Februari ini. Hal itu antara lain akibat penurunan berterusan ringgit sejak setahun lalu daripada RM3.40 untuk AS$1 sehingga paras hari ini, menggugat keyakinan pelabur asing.
Seorang ahli perniagaan yang enggan disiarkan namanya berkata, selagi nilai ringgit lemah maka selagi itulah kerajaan tidak akan dapat meyakinkan pelabur asing bahawa ekonomi negara kuat.
“Pelabur asing hendak tengok bukti dan bukti yang amat ketara ialah nilai mata wang sesebuah negara. Kami komuniti perniagaan sedang menunggu ringgit untuk memperolehi kekuatan dan berada pada paras RM3.90 untuk AS$1.
“Dengan paras itu barulah ramai pelabur asing akan datang kembali. Sekarang pun sudah ada pelabur yang hendak keluar dari negara kita. Ini bukanlah perkara yang baik,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau juga menambah rakan-rakan usahawan yakin kegawatan ekonomi akan melanda Malaysia selepas Tahun Baharu Cina. Cuma skala kerosakan ekonomi masih belum diketahui apakah seteruk krisis kewangan 1997 – 1998 atau pun kemelesetan besar 1985 – 1987.
“Bagi kerajaan, apakah langkah yang akan diambil untuk menguatkan nilai mata wang kita? Adakah apa-apa langkah yang akan diambil untuk memulihkan ekonomi dan menurunkan harga barangan demi meringankan beban rakyat?” tanya beliau lagi.